suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ribuan penumpang lega, tiga lapangan terbang utama Indonesia buka semula selepas amukan abu Anak Krakatau

Penumpang beratur di kaunter lapangan terbang susulan gangguan penerbangan akibat aktiviti Gunung Anak Krakatau. -Foto AFP

SELEPAS ditutup berikutan ancaman abu vulkanik Gunung Anak Krakatau sejak Ahad, tiga lapangan terbang utama di Indonesia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta akhirnya kembali beroperasi awal pagi Selasa selepas disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Pengendali lapangan terbang, InJourney Airports berkata, lapangan terbang utama Jakarta, Soekarno-Hatta di Tangerang kembali beroperasi pada pukul 12.30 tengah malam waktu tempatan.

Ia disusuli Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta pada pukul 12.40 tengah malam dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung dua minit kemudian.

Menurut syarikat itu, keputusan untuk menyambung semula operasi dibuat selepas penilaian dilakukan susulan letusan Anak Krakatau.

Pihak berkuasa penerbangan dan meteorologi turut mengesahkan keadaan adalah selamat untuk operasi penerbangan disambung semula.

"Kami menggesa semua penumpang supaya sentiasa menyemak status penerbangan masing-masing

"Sila hubungi syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini," kata InJourney Airports menerusi hantaran di akaun Instagram rasminya.

Penumpang mendapatkan maklumat di kaunter lapangan terbang susulan gangguan penerbangan akibat letusan Gunung Anak Krakatau. -Foto Bloomberg

Penutupan sementara pada hujung minggu lalu akibat ledakan abu vulkanik Anak Krakatau mencetuskan suasana kelam-kabut apabila ratusan penerbangan terganggu, sekali gus menjejaskan ribuan penumpang.

Sementara itu, aktiviti Gunung Anak Krakatau terus dipantau pihak berkuasa selepas gunung berapi itu dilaporkan meletus sebanyak tiga kali pada Selasa pagi.

Berdasarkan rekod Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, letusan berlaku pada pukul 5.08 pagi, 5.34 pagi dan 7.49 pagi waktu tempatan.

Ketika ini, status Anak Krakatau masih berada pada tahap tiga, iaitu tahap kedua tertinggi daripada empat peringkat amaran gunung berapi yang digunakan di Indonesia.

Dalam perkembangan sama, dua lagi gunung berapi yang turut berada pada tahap tiga dilaporkan menunjukkan aktiviti pada Selasa.

Gunung Ibu di Maluku Utara meletus sebanyak tiga kali, manakala Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur pula memuntahkan abu berwarna kelabu sehingga kira-kira 800 meter dari puncaknya, menurut PVMBG.

Ketiga-tiga gunung berapi itu berada di lokasi berasingan di kepulauan Indonesia, dengan Anak Krakatau terletak di Selat Sunda di bahagian barat negara itu, manakala Gunung Ibu di Maluku Utara dan Ili Lewotolok di Pulau Lembata, Nusa Tenggara Timur.

Artikel Lain