suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Patut keluar 3 September lalu, dua kanak-kanak antara enam pendaki dikhuatiri hilang di Gunung Trans Gerah

Khidmat malim gunung diperlukan dalam membantu pendaki. -Gambar hiasan AI

BUDAK lelaki berusia sembilan tahun antara enam pendaki yang dikhuatiri hilang selepas gagal keluar dari kawasan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang mengikut jadual ditetapkan pada 3 September lalu.

Turut bersama kumpulan berkenaan ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, manakala empat lagi terdiri daripada individu dewasa termasuk dua malim gunung.

Enam pendaki berkenaan dikenal pasti sebagai Shafiee Sidek, 49; Hazman Mamat, 43; Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39; Siti Zulaiha Norizan, 39; Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya kini berada dalam mod siap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kumpulan berkenaan.

Menurut Farhan Sufyan, operasi ketika ini masih tertumpu di kawasan Perak selepas kumpulan berkenaan dipercayai memasuki negeri itu dan mereka dilaporkan pernah berselisih dengan satu kumpulan pendaki lain pada 1 September lalu.

Beliau berkata, sekiranya kumpulan berkenaan berpatah balik dan memasuki semula laluan dari Kelantan, pasukan yang kini bersiap siaga akan digerakkan bagi membantu operasi SAR.

"Berdasarkan maklumat daripada pendaki, kebiasaannya untuk merentasi ketiga-tiga gunung itu akan mengambil masa kira-kira tiga hari.

"Kita masih belum dapat memastikan sama ada mereka tersesat atau ada yang mengalami kecederaan," katanya.

Tambahnya, perjalanan dari BBP Gua Musang ke kaki Gunung Trans Gerah mengambil masa kira-kira empat jam 30 minit.

Ia melibatkan perjalanan selama sejam melalui jalan berturap sebelum perlu melalui laluan off-road selama kira-kira tiga jam 30 minit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, berdasarkan maklumat setakat ini, kejadian kumpulan pendaki memasuki kawasan berkenaan sebelum gagal dikesan dipercayai yang pertama berlaku.

Menurutnya, kumpulan tersebut termasuk empat sekeluarga yang berasal dari Johor dan Terengganu.

"Mereka mempunyai permit pendakian yang sah dengan Jabatan Perhutanan negeri dan turut mengupah dua malim gunung.

"Kalau mengikut rekod jabatan, mereka dipercayai pertama kali mendaki gunung berkenaan.

"Saya juga difahamkan kumpulan ini mempunyai pengalaman dalam aktiviti mendaki berdasarkan tindakan mereka mendapatkan khidmat malim gunung," katanya.

Untuk rekod kumpulan itu memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu.

Kehilangan mereka disedari selepas kumpulan itu gagal keluar dari kawasan hutan seperti dijadualkan pada 3 September.

Laporan kemudian dibuat oleh ahli keluarga pada Sabtu selepas mereka masih gagal dikesan.

Artikel Lain