suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Petani tak perlu runsing lagi, 3 inisiatif digital baharu seliaan MDEC bantu luaskan pasaran terus ke pembeli

Datuk Seri Mohamad Sabu bersama kepimpinan KPKM dan MDEC, rakan strategik serta finalis Program Agrovator@Sekolah di MAHA 2026.

MENANAM sudah, hasil pun berjaya dituai, tetapi bagaimana caranya untuk kurangkan kos dan tarik lebih ramai pembeli?

Siapa sangka, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi antara pendekatan untuk membantu petani serta usahawan tani meningkatkan hasil, mengurus ladang dengan lebih cekap dan meluaskan pasaran.

Usaha itu kini diperkukuh menerusi pelantikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pelantikan yang diumumkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 30 Ogos lalu itu memperluas mandat MDEC dalam mempercepat penggunaan AI dan teknologi digital merentasi sektor agromakanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi digital merupakan dua agenda strategik negara yang saling berkait rapat.

“Pelantikan ini merupakan satu kepercayaan besar kepada MDEC untuk memastikan teknologi digital dan AI diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada sektor agromakanan dan rakyat.

“Matlamatnya jelas, iaitu membantu petani dan usahawan tani meningkatkan kecekapan, memperluas peluang pasaran serta memperkukuh daya tahan bekalan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.

Aina Azza Zaid, menyampaikan surat pelantikan MDEC sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech KPKM kepada Ir. Wan Murdani Wan Mohamad, sambil disaksikan Datuk SeriMohamad Sabu (belakang kiri) dan Datuk Seri Norazman Ayob (belakang kanan) di MAHA 2026.

Aina Azza Zaid, menyampaikan surat pelantikan MDEC sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech KPKM kepada Ir. Wan Murdani Wan Mohamad, sambil disaksikan Datuk Seri  Mohamad Sabu (belakang kiri) dan Datuk Seri Norazman Ayob (belakang kanan) di MAHA 2026.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran tiga inisiatif iaitu Platform Pengadaptasian Teknologi Pertanian Digital (i-AGRI), Platform BidFresh dan Program Agrovator@Sekolah.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPKM (kedua dari kanan) Datuk Seri Norazman Ayob; Naib Presiden, Penerimagunaan Digital, MDEC (kanan) Ir. Wan Murdani Wan Mohamad dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemodenan Pertanian, KPKM (kiri), Aina Azza Zaid.

Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif berkenaan saling melengkapi melalui perancangan berasaskan data, peluasan akses pasaran dan pembangunan bakat masa hadapan bagi memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara.

Pelaksanaannya menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030), selain selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.

“Selaras dengan MD2030, usaha ini akan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata Anuar.

Setakat ini, lebih 800 sistem Digital AgTech, termasuk lebih 100 sistem berasaskan AI, telah dipasang di seluruh negara oleh syarikat teknologi tempatan berstatus Malaysia Digital (MD).

Pelaksanaannya merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, manakala lebih 30,000 peserta telah menerima latihan serta pendedahan mengenai teknologi Digital AgTech.

Penyelesaian yang digunakan termasuk AI, Internet Kebendaan (IoT), automasi, sistem pemantauan pintar dan analisis data bagi membantu meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi serta memperkukuh kecekapan pengurusan ladang dan rantaian bekalan.

Datuk Seri Norazman Ayob bersama Ir Wan Murdani Wan Mohamad dan wakil MDEC ketika sesi demonstrasi Platform i-AGRI di Pavilion Agritech.Datuk Seri Norazman Ayob bersama Ir Wan Murdani Wan Mohamad dan wakil MDEC ketika sesi demonstrasi Platform i-AGRI di Pavilion Agritech.

BidFresh perluas akses pasaran dan rantaian bekalan digital

BidFresh menghubungkan usahawan tani secara terus dengan pembeli menerusi platform digital yang memudahkan padanan pasaran, perkongsian maklumat dan urusan transaksi.

Inisiatif itu berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan, selain meningkatkan ketelusan pasaran.

i-AGRI perkukuh perancangan dan pemantauan berasaskan data

Sementara itu, i-AGRI menghimpunkan maklumat penggunaan teknologi bagi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur melalui statistik, peta, carta serta paparan interaktif.

Platform yang dibangunkan MDEC bersama KPKM, Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi itu membantu kerajaan serta pihak berkepentingan mengenal pasti jurang penggunaan teknologi digital, merancang intervensi dan membuat keputusan dengan lebih berkesan.

Agrovator@Sekolah bentuk generasi bakat AgTech masa hadapan

Bagi menarik minat generasi muda, Agrovator@Sekolah memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai AI, IoT, automasi serta pertanian pintar.

Dilaksanakan dengan kerjasama DXN Holdings Berhad sebagai rakan strategik, program tersebut menggabungkan pembelajaran interaktif dan cabaran inovasi bagi memupuk minat terhadap Digital AgTech.

Fasa pertamanya telah melibatkan 500 pelajar daripada lebih 80 sekolah di seluruh negara, manakala fasa kedua dijadualkan bermula pada Oktober 2026.

MDEC akan terus bekerjasama dengan kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara ke arah meningkatkan produktiviti, memperkukuh keterjaminan makanan dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

Artikel Lain