POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan dan merakam keterangan 127 individu bagi membantu siasatan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH). Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk individu yang kini berada di luar negara."Siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Dalam pada itu, Rusdi memberi jaminan bahawa pihak polis kekal komited untuk menjalankan setiap siasatan secara bebas, telus dan profesional selaras dengan peruntukan undang-undang.Susulan itu tegasnya, mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam perbuatan jenayah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang."Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam perbuatan jenayah akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung siasatan yang masih berjalan.Ia berikutan kenyataan tidak berasas bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.Justeru, orang ramai diminta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan kes berkenaan hanya menerusi saluran rasmi. -The Star