Masmariati menggunakan tongkat sepanjang prosiding susulan baru menjalani pembedahan tulang belakang.
PADAH mencederakan bayi perempuan berusia 21 bulan, seorang pengasuh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah.Hukuman itu dijatuhkan Majistret Uthman Abd Ghani terhadap Masmariati Samsudin, 44, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya, pada Jumaat. Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah rumah di Jalan Desa Taming Sari 3, Sungai Udang pada 13 Februari 2025.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menyedari terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya selepas mengambil kanak-kanak itu dari rumah pengasuh kira-kira pukul 7 malam pada hari kejadian.Bapa mangsa kemudiannya menghubungi tertuduh bagi mendapatkan penjelasan mengenai kecederaan tersebut.Tertuduh pada mulanya menafikan mengetahui punca lebam berkenaan, namun kemudian mengaku menjadi individu yang menyebabkan kecederaan itu.Hasil pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian kemaluan dan bawah abdomen mangsa diklasifikasikan sebagai serangan fizikal.Kanak-kanak itu juga dilaporkan pernah mengalami kecederaan berhampiran mata selain lebam pada tubuh dan tangannya sebelum kejadian tersebut.Susulan itu, Pegawai pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum kerana tertuduh telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa mangsa.Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan denda minimum.Menurutnya, tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM350 sebulan sebagai pengasuh dan bergantung kepada suaminya yang merupakan pesara tentera dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.Pasangan itu juga mempunyai seorang anak yang sedang melanjutkan pengajian di universiti.Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh baru menjalani pembedahan tulang belakang, menyesali perbuatannya serta mengakui gagal mengawal emosi ketika kejadian.Tertuduh yang dilihat menggunakan tongkat sepanjang prosiding kemudian membayar denda berkenaan.