Di sebalik kejayaan setiap insan, berdirinya seorang guru yang tak pernah lelah mendidik, membimbing dan menanam keyakinan dalam diri anak didik mereka. –Gambar hiasan/The Star
TUGAS sebagai guru bukan sekadar berdiri di hadapan kelas untuk menyampaikan ilmu, sebaliknya mereka turut memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, mencungkil potensi dan mencorakkan masa depan generasi muda.Di sebalik tuntutan tugas yang semakin kompleks iaitu daripada adaptasi teknologi hinggalah menangani pelbagai kerenah murid, para pendidik dituntut untuk sentiasa kreatif berlandaskan prinsip utama pendidikan iaitu Komunikasi (Communication), Kolaborasi (Collaboration), Pemikiran Kritis (Critical Thinking) dan Kreativiti (Creativity) atau 4C. Bagi lima orang guru ini, kecintaan terhadap dunia pendidikan serta impian melihat generasi pelapis menerajui negara menjadi rahsia utama untuk mereka terus bersemangat saban hari.Bagi Pang Yee Jiea, guru sekolah menengah di Melaka dengan pengalaman lebih 20 tahun, motivasi terbesarnya adalah apabila memikirkan impak usaha seorang pendidik terhadap masa depan anak didiknya.Menurutnya, walaupun tugas mendidik kadangkala memenatkan, perubahan kecil dalam diri murid mampu menjadi pencetus semangat untuk terus memberikan yang terbaik."Apabila penat, saya fikir tentang seorang murid yang mungkin suatu hari nanti berjaya kerana pernah percaya pada dirinya sendiri selepas saya percaya kepadanya."Prinsip saya ialah jangan tunggu sempurna untuk memberi yang terbaik. Setiap hari cuba buat sedikit lebih baik, cuba sesuatu yang baharu dan terus belajar bersama murid," katanya.Dalam menghadapi cabaran, Yee Jiea memilih untuk melihat setiap masalah sebagai ruang belajar, selain memastikan setiap tindakan dirancang kemas bersama pelan sokongan.Katanya, kerjasama dengan rakan guru, murid, pihak pengurusan dan komuniti juga penting bagi memastikan cabaran dapat ditangani dengan lebih berkesan."Tenang ketika menghadapi masalah, cepat mencari penyelesaian dan sentiasa bersedia dengan pelan alternatif. Bagi saya, cabaran bukan penghalang, tetapi ruang untuk menjadi guru yang lebih kuat, kreatif dan berdaya tahan," katanya.Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah dan menjadi inspirasi kepada generasi masa depan. -Gambar hiasan/The StarYee Jiea turut mengingatkan rakan guru supaya tidak berhenti belajar dan berani mencuba pendekatan baharu."Jangan ukur kejayaan guru hanya melalui pencapaian akademik murid, tetapi melalui perubahan yang kita berjaya cetuskan dalam diri mereka," ujarnya.Sementara itu bagi Noor Haini Abdullah, guru sekolah menengah di Terengganu yang berpengalaman lebih 11 tahun, keyakinan bahawa setiap murid ada potensi untuk berjaya menjadi dorongan utamanya."Walaupun tugas sebagai guru mencabar, saya mendapat kepuasan apabila melihat perubahan dan perkembangan murid, walaupun sedikit."Bagi saya, apabila kita ikhlas mendidik dan melihat kejayaan murid, itu sendiri menjadi sumber motivasi untuk terus bersemangat."Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian. Saya cuba menghadapinya dengan tenang dan positif, selain banyak berbincang serta bekerjasama dengan rakan guru dan pihak pengurusan," katanya.Beliau turut pesan kepada rakan pendidik agar tidak membandingkan perjalanan kerjaya sendiri dengan orang lain kerana masing-masing mempunyai cabaran serta kekuatan tersendiri."Hargai proses, raikan kejayaan kecil murid dan sentiasa ingat bahawa mungkin ada seorang murid yang kehidupannya berubah kerana kata-kata, ilmu dan perhatian yang kita berikan," ujarnya.Dalam pada itu, Madhavi A/P Shilvaraj, guru sekolah rendah di Melaka yang berkhidmat lebih empat tahun, menganggap profesion ini sebagai satu amanah besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak.Katanya, sokongan rakan sekerja dan keluarga, hubungan rapat dengan murid, serta rasa syukur atas amanah yang digalas menjadi punca semangatnya tidak pernah padam.Apabila berdepan cabaran, Madhavi memilih untuk memahami punca masalah terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan, selain kerap mendapatkan pandangan rakan guru dan pentadbir."Jangan pernah hilang keikhlasan dalam mendidik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. "Kita mungkin tidak dapat melihat hasil usaha kita serta-merta, tetapi setiap ilmu, nasihat dan perhatian yang diberikan mampu meninggalkan kesan dalam kehidupan seorang murid. "Teruskan belajar, saling menyokong dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Jadilah guru yang bukan sahaja mengajar, tetapi turut menjadi inspirasi dan contoh yang baik kepada murid," katanya sambil menambah guru perlu sentiasa fleksibel mengikut arus perubahan.Bagi Nor Hasnah Zamin, guru sekolah rendah di Terengganu yang sudah 31 tahun dalam bidang pendidikan, semangatnya terus membara setiap kali melihat wajah anak didiknya.Katanya, murid ibarat kain putih yang perlu dibentuk dengan ilmu dan nilai murni kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.Pengalaman selama lebih tiga dekad turut banyak membantunya menangani pelbagai cabaran, termasuk ketika berdepan ibu bapa dan pihak atasan.Jasa guru begitu besar dalam membimbing murid mengenal potensi diri dan mengejar impian mereka. –Gambar hiasan/The Star"Dalam soal cabaran, saya menggunakan pengalaman berkhidmat selama 31 tahun dan juga bertanya pendapat rakan-rakan guru, keluarga serta pentadbir terhadap apa juga masalah, cabaran dan risiko yang dihadapi dalam membuat apa-apa keputusan"Ini terutamanya apabila melibatkan pelbagai situasi termasuk berhadapan dengan ibu bapa atau pihak atasan," ujarnya. Beliau turut mengingatkan warga pendidik supaya tidak melihat perubahan dalam dunia pendidikan secara negatif, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan teknologi pemudah cara seperti kecerdasan buatan (AI).Bagi Yee Mei Har, guru sekolah menengah di Melaka yang mempunyai pengalaman lebih 21 tahun, minat mendalam untuk berkongsi ilmu serta melihat perkembangan pelajar menjadi rahsia untuk kekal bersemangat."Dukungan rakan sekerja dan perancangan yang teliti banyak membantu. Risiko pula diselesaikan melalui komunikasi yang jelas, pengurusan masa yang baik dan sentiasa belajar daripada pengalaman," katanya.Mei Har turut menyeru rakan guru supaya menjaga semangat mendidik dengan ikhlas, saling berkongsi pengalaman dan menyokong antara satu sama lain."Nasihat saya untuk rakan guru ialah sentiasa menjaga semangat mendidik dengan ikhlas, berkongsi pengalaman, saling menyokong, serta mengutamakan kesejahteraan diri demi keberkesanan tugas," tambahnya. Semestinya setiap bidang mempunyai cabaran tersendiri, namun bagi guru-guru ini, setiap cabaran perlu dilihat sebagai peluang untuk menambah pengalaman dalam mendidik.Bagi mereka, apa jua masalah atau perkara berbangkit tidak seharusnya dipikul seorang diri, sebaliknya perlu dibincangkan bersama ketua dan dibawa ke mesyuarat pengurusan sekiranya memerlukan penyelesaian secara bersama.Pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat membantu mencari solusi terbaik, malah mengukuhkan semangat kolaborasi dalam kalangan warga pendidik.Pada akhirnya, di sebalik segala cabaran dan perubahan dalam dunia pendidikan, semangat guru untuk terus mendidik tidak seharusnya bergantung kepada kesempurnaan.Bagi para pendidik ini, keikhlasan, kesediaan untuk terus belajar, keberanian berubah serta sokongan antara satu sama lain menjadi kekuatan untuk terus membentuk generasi yang mampu membawa negara ke hadapan.