Ahmad ketika berucap pada majlis prapelancaran pada Rabu. -Gambar Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia
PERSIDANGAN dan Pameran Jalan Raya Malaysia (MRC) ke-13 yang dijadual berlangsung Oktober depan bakal menjadi platform memperkukuh teknologi serta inovasi kejuruteraan jalan tempatan ke peringkat antarabangsa.Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, penganjuran MRC 2026 akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur jalan yang berdaya tahan, mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan. “Sebanyak 111 ruang pameran akan disediakan dengan jumlah kehadiran dijangka mencecah sehingga 1,000 peserta dengan 10 peratus daripadanya peserta antarabangsa.“Ini yang menjadikan penganjuran kali ini lebih istimewa kerana turut menampilkan penyertaan dan penglibatan antarabangsa melalui IRF,” katanya pada majlis prapelancaran MRC ke-13 dan IRF ke-6 di WTCKL pada Rabu.Persidangan itu akan berlangsung bersama Kongres Wilayah Asia Pasifik Global Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) ke-6 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 13 hingga 15 Oktober.Ahmad Maslan berkata, sebanyak 109 ruang pameran turut disediakan bagi mengetengahkan teknologi, produk dan inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan jalan raya.“Kita tidak mahu ketinggalan dalam pendigitalan dan kecerdasan buatan, sebaliknya perlu sentiasa melakukan anjakan paradigma dalam kaedah kita membina dan memikirkan sesuatu,” katanya.Kata Ahmad Maslan lagi, perkembangan teknologi seperti Building Information Modelling (BIM) dan AI perlu diberi perhatian bagi memastikan sektor kejuruteraan jalan negara terus berkembang seiring kemajuan teknologi global.Bertemakan Transforming the Nation Through Future-Ready Roads, penganjuran kali ini akan menyaksikan pembentangan 122 kertas kerja teknikal daripada jabatan dan agensi berkaitan.Ia merangkumi sepuluh subtema utama antaranya kejuruteraan cerun, audit keselamatan jalan raya, pengurusan aset, serta aplikasi teknologi pintar berasaskan kecerdasan buatan.MRC 2026 dianjurkan Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Road Engineering Association Malaysia (REAM), dengan kerjasama serta sokongan rakan strategik dan pemain industri.