DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menasihati setiausaha akhbarnya terlebih dahulu sebelum menyifatkan kenyataannya sebagai biadab.Menurut Setiausaha Agung Umno itu, tindakan setiausaha akhbar Aminuddin yang secara berseloroh menobatkan Anthony Loke sebagai Undang Yang Kelima disifatkan lebih serius kerana membabitkan institusi diraja dan adat Negeri Sembilan. "Walaupun kita melihat itu dalam bentuk jenaka, tetapi jenaka yang dibuat dengan mengaitkan institusi raja dan adat adalah sesuatu yang keterlaluan."Dalam konteks ini, kalau dia nak suruh saya minta maaf, dia yang harus minta maaf dulu. Ini berkait rapat dengan institusi adat dan raja Negeri Sembilan yang begitu dipertahankan dan diagungkan oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyifatkan kenyataan Asyraf Wajdi berhubung kemungkinan Anthony Loke menjadi Menteri Besar sebagai tidak wajar dan melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.Mengulas perkara itu, Asyraf Wajdi berkata, kenyataannya mengenai calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) dibuat sebagai jawapan kepada soalan wartawan mengenai calon yang akan diketengahkan parti itu.Beliau menjelaskan, kenyataannya yang menyebut kemungkinan Anthony Loke menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Aminuddin kalah di Linggi dibuat secara berseloroh sebagai sindiran balas terhadap pihak yang mendakwa BN tidak mempunyai calon Menteri Besar.“Apakah Anthony Loke yang akan menjadi Menteri Besar? Itu sahaja, bukannya secara serius. Saya pun tahu Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, setiap Menteri Besar mesti Melayu dan beragama Islam,” katanya [Tonton Video].Menurutnya, BN mempunyai ramai calon berkelayakan termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Syed Jalaluddin Syed Jamalullail, selain calon muda serta golongan profesional.“Jadi kalau itu pun nak diambil serius sehingga menuduh saya sebagai tidak beradab, saya rasa kena tanya pula kepada beliau kenapa tidak menasihati setiap sahabat beliau.“Kalaupun dia katakan berjenaka menobatkan Anthony Loke sebagai Undang Yang Kelima, bagi saya itu lebih biadab daripada saya berjenaka soal siapa Menteri Besar selepas Tok Min,” katanya.