suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

44 syarikat raih pengiktirafan ESG

Juara ESG:... (Barisan hadapan, dari kiri) Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng; Penolong Pengurus Besar IJM Land, Tan Pei Wen; Pengurus Kanan Kewangan HeveaPac Sdn Bhd, Max Han; Peh; Chan; Vikram; Naib Presiden Korporat Kumpulan Komunikasi Strategik TM, Asril Idris; dan Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang, bersama para pemenang ESG PIA 2025. -Foto AZHAR MAHFOF/SMG

SEBANYAK 44 syarikat daripada pelbagai sektor dan industri menerima 65 pengiktirafan pada Anugerah ESG Positive Impact (PIA) 2025 pada Rabu.

Ia sebagai penghargaan terhadap usaha mereka melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memberi impak besar.

Bertemakan Celebrating ESG in Action: From Vision to Value, majlis itu memberi pengiktirafan kepada organisasi yang menjadikan prinsip etika sebagai sebahagian daripada operasi teras, bukan sekadar memberi tumpuan kepada keuntungan, menerusi 16 kategori anugerah.

Dua organisasi turut menerima anugerah berprestij Inisiatif Terulung ESG 2025 (Most Outstanding ESG Initiative 2025) atas pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Dalam kategori PKS dan syarikat pertengahan, HeveaPac Sdn Bhd diiktiraf atas usaha dalam bidang pembuatan mampan, amalan tenaga bersih serta inisiatif tenaga kerja inklusif.

Bagi kategori syarikat besar pula, YTY Industry Holdings Sdn Bhd menerima pengiktirafan atas komitmennya terhadap piawaian buruh beretika, pembuatan mesra alam serta peralihan kepada tenaga bersih.

Anugerah itu dianjurkan oleh Star Media Group (SMG) Bhd dengan khidmat nasihat Ernst & Young, serta mendapat sokongan rangkaian rakan strategik yang luas dan pengiktirafan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Telekom Malaysia Bhd (TM) merupakan penaja utama ESG PIA 2025, manakala IJM Rimbayu bertindak sebagai penaja bersama.

Pacu impak di peringkat serantau

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan selaku tetamu kehormat, berkata inisiatif itu selari dengan aspirasi pembangunan tenaga kerja negara dan prinsip Malaysia Madani.

"ESG PIA mencerminkan banyak keutamaan yang sedang kami perjuangkan di Kesuma. Daripada Hak Asasi Manusia dan Piawaian Buruh kepada Kesihatan dan Kesejahteraan, Pengurusan Bakat, Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman.

"Serta Tadbir Urus dan Transformasi, setiap anugerah mengiktiraf organisasi yang membawa perubahan positif," katanya dalam ucapan pada majlis di Sunway Resort Hotel.

Menurut Ramanan, usaha berkenaan mencerminkan prinsip ihsan dalam kerangka Malaysia Madani, selain memperkukuh tonggak sosial ESG dengan memastikan kebajikan pekerja diberi perhatian tanpa mengira tempat mereka mencari rezeki.

Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Chan Seng Fatt dalam ucapan alu-aluannya pula berkata para penerima anugerah telah menghayati prinsip ESG dan membuktikan bahawa amalan perniagaan bertanggungjawab mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, pekerja, komuniti dan generasi akan datang.

"Kami (SMG) berbangga kerana anugerah pada malam ini merupakan sebahagian daripada agenda rentas sempadan yang lebih besar. SMG memahami bahawa isu ESG tidak terhad kepada sempadan sesebuah negara.

"Justeru, kami memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran ESG di peringkat serantau sebagai anggota Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC)," katanya.

Bersama SMG, anggota pengasas A-EPIC yang lain, iaitu Media Group of Kompas Gramedia (KG Media) dari Indonesia dan Inquirer Group of Companies (IGC) dari Filipina, turut mengiktiraf peneraju ESG masing-masing menerusi Lestari Awards dan Inquirer ESG Edge Impact Awards.

Rakaman ringkas ketiga-tiga majlis turut disiarkan secara langsung di semua lokasi acara, selain mesej alu-aluan bersama daripada Chan, ketua pegawai eksekutif KG Media Andy Budiman dan pengerusi Inquirer Interactive Inc Sandy P. Romualdez.

Tingkat piawaian industri

Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali, berkata pengiktirafan itu boleh menjadi pemangkin kepada penerima anugerah untuk memperluas inisiatif yang telah terbukti berkesan, meningkatkan kredibiliti serta membina kerjasama baharu yang mampu meluaskan impak mereka.

Beliau berkata ia juga dapat menggalakkan lebih banyak organisasi untuk mengambil langkah sama.

"Bagi TM, perkara paling bermakna dalam menyokong ESG PIA ialah peluang untuk terus memacu agenda kelestarian Malaysia menerusi platform yang mengiktiraf inisiatif ESG berimpak, berkongsi amalan terbaik yang terbukti berkesan dan menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pelbagai industri.

"Kami percaya tanggungjawab kami bukan sekadar mengurus kelestarian dalam operasi sendiri, tetapi turut memanfaatkan infrastruktur digital, keupayaan teknologi dan kerjasama strategik untuk membawa kemajuan bermakna kepada komuniti, perniagaan dan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata pihaknya berbesar hati melihat ESG PIA mengiktiraf syarikat PKS dan korporat besar yang menunjukkan amalan perniagaan mampan yang cemerlang.

"Dengan meraikan kepimpinan dan impak positif, anugerah ini menggalakkan lebih banyak perniagaan memperkukuh amalan ESG masing-masing dan membantu meningkatkan piawaian dalam komuniti perniagaan.

"Di IJM Rimbayu, kelestarian telah lama menjadi panduan dalam cara kami merancang dan membangunkan komuniti. Kami berbangga menyokong platform yang berkongsi kepercayaan bahawa pengiktirafan terhadap pencapaian hari ini akan mendorong kemajuan yang lebih besar pada masa hadapan. 

"Tahniah kepada semua penerima anugerah atas pencapaian cemerlang dalam memajukan kecemerlangan ESG," katanya dalam satu kenyataan.

Duta Filipina ke Malaysia Maria Angela A. Ponce yang turut hadir berkata beliau menyaksikan kerjasama antara ketiga-tiga kumpulan media itu sejak peringkat awal dan memuji perkembangan kesedaran ESG, kepelbagaian penyertaan serta manfaat perkongsian pengetahuan serantau kepada pelbagai industri.

"Usaha di peringkat tempatan perlu mendapat sokongan dan inspirasi daripada kerjasama serantau. Menerusi konsortium ini, industri kita – daripada perusahaan kecil dan sederhana hingga syarikat besar – mendapat manfaat dengan saling berkongsi pengalaman dan mencontohi amalan terbaik," katanya.

Jadi penanda aras kecemerlangan

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif YTY Group, Vikram Hora memuji ESG PIA kerana memberi perhatian kepada usaha kelestarian yang dilaksanakan oleh syarikat yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Amat menggalakkan apabila sebuah syarikat seperti SMG, dengan platform dan pengaruh yang dimilikinya, dapat mengetengahkan kisah seperti ini, mengiktiraf syarikat seperti kami dan menggalakkan kami untuk terus bergerak ke hadapan.

"Kami amat gembira menerima anugerah ini dan ia memberi inspirasi kepada kami untuk meneruskan perjalanan ke arah kecemerlangan," katanya.

Menurut Vikram, tumpuan ESG ialah kepada syarikat yang banyak berkisar kepada pematuhan sosial dan perlindungan hak tenaga kerjanya, khususnya dalam memastikan amalan buruh yang adil untuk pekerja migran.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif HeveaPac Sdn Bhd ,Peh Ju Chai pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pengesahan terhadap komitmen syarikat selama sedekad dalam pembuatan mampan dan kebajikan pekerja.

"Ini mengesahkan bahawa usaha kami sepanjang 10 tahun lalu mendapat pengiktirafan.

"Kami telah mengambil pelbagai langkah penting, daripada mengumpul air hujan dan memasang sistem kawalan habuk canggih, hinggalah menyediakan klinik perubatan di lokasi serta melabur RM25 juta untuk membina asrama moden yang dilengkapi teknologi bagi pekerja asing kami," katanya.

Peh berkata platform seperti ESG PIA penting dalam menggalakkan lebih banyak syarikat kecil untuk memperkukuh usaha ESG masing-masing.

"Anugerah ini pastinya akan membantu PKS memajukan inisiatif ESG mereka kerana setiap orang boleh memainkan peranan. Syarikat perlu mengambil bahagian untuk belajar dan memahami ESG dengan lebih mendalam," katanya.

Juara daripada kategori terpilih ESG PIA 2025, Lestari Awards dan Inquirer ESG Edge Impact Awards seterusnya akan mewakili negara masing-masing di peringkat serantau menerusi Asia ESG Positive Impact Awards yang dijadualkan berlangsung pada November ini. -The Star

Artikel Lain