suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Terjebak dengan 43 ah long selepas pinjam RM1,000...Lelaki tertekan anak, isteri terima ancaman culik dan rogol

Keselamatan anak dan isteri mulai terancam bila mangsa gagal melunaskan hutang. -Gambar hiasan

BERMULA dengan pinjaman hanya RM1,000, seorang mangsa ah long terpaksa menanggung hutang lebih RM75,000 selepas dikenakan bunga sebanyak RM100 sehari.

Lebih mengejutkan, mangsa memaklumkan jumlah pemberi pinjaman ah long meningkat daripada seorang kepada 43 orang, semata-mata bagi membayar bunga pinjaman terdahulu.

Mangsa pada awalnya terdesak mendapatkan wang bagi menampung keperluan harian dan membayar sewa rumah selepas perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan tidak menjadi.

“Saya mula mencari pinjaman secara dalam talian dan meminjam sedikit dahulu tanpa mengetahui ia adalah ah long. Rupanya keputusan itu mengubah hidup saya. Bunga yang dikenakan ialah RM100 sehari.

“Setiap hari saya perlu fikir bagaimana hendak mencari RM100 hanya untuk membayar bunga,” katanya.

Mangsa berkata, apabila tidak mampu membayar, jumlah hutangnya semakin meningkat dan dia terpaksa membuat pinjaman baharu untuk membayar bunga pinjaman terdahulu.

“Daripada satu ah long, saya terjebak dengan 43 ah long, hanya semata-mata untuk membayar bunga yang tiada pengakhiran.

“Masalahnya bukan hanya jumlah hutang, tetapi saya mula menerima pelbagai mesej ugutan termasuk ancaman terhadap keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Mangsa ah long perlu mengikuti kelas pengajian Al-Quran sebagai syarat untuk membantu mereka menyelesaikan pinjaman. -Gambar DM Pusat Pengajian Al-Quran

Mangsa ah long perlu mengikuti kelas pengajian Al-Quran sebagai syarat untuk membantu mereka menyelesaikan pinjaman. -Gambar DM Pusat Pengajian Al-Quran

Menurutnya, dia turut menerima ugutan mengerikan termasuk ancaman untuk menculik serta merogol isteri dan anaknya.

“Telefon sentiasa dalam mod senyap, bukan kerana tidak mahu menjawab tetapi kerana takut. Tidur tidak lena, bekerja juga tidak tenang. Saya hidup dalam ketakutan,” katanya.

Mangsa berkata, dia pernah mendapatkan bantuan polis, namun dimaklumkan pinjaman berkenaan dibuat atas kehendaknya sendiri.

“Saya faham, memang saya yang meminjam. Tetapi saya tidak pernah menyangka pinjaman RM1,000 boleh membawa saya ke tahap ini,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan mula berubah selepas dia diperkenalkan kepada Unit Khas Unit Banteras Ahlong dari DM Pusat Pengajian Al-Quran.

Menurutnya, selepas mendapatkan bantuan, bayaran kepada pihak ah long dihentikan sementara, manakala jumlah hutang dikira semula berdasarkan jumlah pokok pinjaman yang diterima dan bayaran yang telah dibuat.

“Sejak itu, hutang saya dengan ah long terhenti. Saya tidak lagi perlu membayar bunga RM100 setiap hari atau mencari wang hanya untuk membayar bunga yang tidak pernah habis,” katanya.

Dia berkata, bayaran kemudiannya disusun semula mengikut kemampuan dan jumlah yang diterima, sekali gus membolehkannya mengurus kewangan serta membayar hutang sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, saya boleh mula mengatur kewangan. Tidak lagi hidup dalam tekanan seperti sebelum ini.

“Telefon saya tidak lagi perlu sentiasa diletakkan dalam mod senyap. Saya boleh tidur dengan lebih tenang dan bekerja tanpa sentiasa takut telefon berbunyi,” katanya.

Sementara itu, DM Pusat Pengajian Al-Quran memaklumkan bantuan diberikan bagi menguruskan pembayaran semula pinjaman berdasarkan jumlah pokok yang diterima tanpa bunga.

"Kami bantu pengurusan mangsa ah long untuk bayar semula pinjaman tanpa bunga. Tiada bayaran dikenakan dan mangsa hanya perlu mengikuti kelas Al-Quran dan fardu ain," katanya.

DM Pusat Pengajian Al-Quran mempunyai sembilan cawangan merangkumi Kedah, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Artikel Lain