SEORANG remaja lelaki maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di George Town, Pulau Pinang pada Jumaat.Kejadian membabitkan mangsa berusia 18 tahun itu dipercayai berlaku sekitar pukul 4 petang dan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV). Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 4.17 petang.Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai melakukan tugas khas mengeluarkan mangsa dari lokasi menerusi tali dan juga menggunakan pengusung.“Difahamkan mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran adalah seorang pelajar dan dipercayai terjatuh dari tingkat 68.“Ketika mayatnya ditemukan, kita turut menjumpai tiket masuk ke taman tema dalaman (indoor theme park) manakala pergelangan tangannya juga memakai pas masuk ke taman tema itu," katanya.Jelas Jamil lagi, pasukan penyelamat berdepan sedikit kesukaran sewaktu proses evakuasi berikutan permukaan di kawasan terbabit licin selepas hujan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian berkenaan.Menurut beliau, mangsa disahkan maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta hampir keseluruhan anggota badan dipercayai impak daripada jatuh dari tempat tinggi."Siasatan di lokasi mendapati mangsa, seorang warga tempatan dari kawasan Macallum ditemukan di atas bumbung aras enam bangunan Komtar dalam keadaan berpakaian lengkap.“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari aras tinggi bangunan tersebut," katanya dalam kenyataan.Tambahnya, siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan polis telah membuka Laporan Mati Mengejut bagi menyiasat kejadian itu.