PEMIMPIN Umno dilihat kurang senang dengan cadangan nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan penggunaan istilah itu tidak relevan kerana kerjasama terjalin ketika ini bukanlah pembentukan sebuah gabungan politik baharu. Sebaliknya kata Wan Rosdy, kerjasama antara BN dan PN hanyalah satu persefahaman bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan."Kenyataan beliau (Datuk Seri Hamzah Zainudin) itu di luar daripada konteks kita bincangkan sebelum ini."Bagi saya istilah itu tidak relevan, ia hanya gabungan semasa. Saya pun tak tahu apa tafsiran dia," katanya. Wan Rosdy berkata demikian selepas program kempen PRN Negeri Sembilan di Palong 4, Jempol pada malam Rabu.Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut senada dengan kenyataan tersebut sambil menegaskan kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan nama baharu tersebut.Jelasnya, kerjasama terjalin dengan PN hanya berasaskan persefahaman bagi mengelakkan pertindihan kerusi selain memastikan kemenangan bersama pada PRN Negeri Sembilan."Mengenai Perikatan Barisan Nasional, itu kenyataan dia. Kami kepimpinan tak pernah setuju.ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai susah sebut PN-BN” - Hamzah cadang guna nama ‘PBN’ di Negeri Sembilan, elak pengundi keliru"Biar kita bekerjasama dan mempunyai kesefahaman, tidak bertindih kerusi dan sama-sama menang dalam PRN Negeri Sembilan."Kalau kita boleh bekerjasama dengan baik, insya-Allah Negeri Sembilan menjadi permulaan dan pencetus kepada suatu penyatuan yang didambakan oleh umat Islam keseluruhannya," katanya.Asyraf turut menggesa semua pihak menerima kerjasama yang dibentuk dengan hati terbuka demi memastikan gabungan itu kembali kukuh dan berupaya mentadbir negeri sekiranya diberi mandat rakyat.“Kita kena ikhlaskan. Kita minta Allah rahmati kerjasama ini dan mudah-mudahan dipermudahkan," katanya.Sementara itu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan isu penamaan gabungan kerjasama BN-PN bukan perkara perlu diberi perhatian ketika ini."Itu cadangan beliau (Hamzah) sahaja dan ia akan ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan."Tapi saya fikir ia tidak memberikan sesuatu yang besar dan bukanlah sesuatu yang harus difikirkan," katanya.Pada Rabu, mStar melaporkan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya PN dan BN menggunakan nama rasmi Perikatan Barisan Nasional (PBN) bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.Menurut Hamzah, penggunaan nama itu dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai kerjasama antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.Bagaimanapun, Hamzah menegaskan perkara lebih penting ialah kesepakatan antara parti-parti terlibat perlu menjadi keutamaan dalam usaha membentuk kerajaan baharu di negeri itu.