suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kecil-kecil dah diajar jaga kesihatan... Kanak-kanak Yayasan Chow Kit teruja sertai program mStar Baek bersama KPJ Healthcare

Kanak-kanak diberi penerangan kepentingan menjaga kebersihan. -Gambar Raja Faisal Hishan/SMG

KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak Yayasan Chow Kit di Kuala Lumpur apabila mereka berpeluang belajar sesuatu yang mungkin dianggap remeh, namun sebenarnya amat penting dalam kehidupan seharian dan seterusnya menjadi masyarakat berguna.

Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mStar Baek bersama KPJ Healthcare, anak-anak ini bukan sahaja didedahkan dengan aktiviti penjagaan kesihatan, malah turut diajar cara menjaga kebersihan diri dengan betul.

Bagi mereka, pengalaman mencuci tangan, belajar menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjalani pemeriksaan kesihatan bersama pegawai perubatan menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna dan menyeronokkan.

KPJ Healthcare turut menjalankan pemerikasaan kesihatan terhadap kanak-kanak di Yayasan Chow Kit.-Gambar Raja Faisal Hishan/SMG

KPJ Healthcare turut menjalankan pemerikasaan kesihatan terhadap kanak-kanak di Yayasan Chow Kit.  - Gambar Raja Faisal Hishan 

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program bermula 10 pagi hingga 2 petang, Sabtu lalu itu ialah seminar pemakanan kanak-kanak bertemakan kebersihan makanan, selain sesi interaksi dan suai kenal bersama peserta.

Kanak-kanak turut berpeluang menyertai demonstrasi kebersihan tangan secara interaktif bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan mencuci tangan dengan cara yang betul, terutama sebelum makan dan selepas melakukan aktiviti.

Selain itu, turut diadakan saringan kesihatan klinikal bagi memantau tahap kesihatan kanak-kanak yang terlibat dalam program berkenaan.

"Dekat rumah mak memang ada pesan basuh tangan sebelum makan, tapi dia tak beritahu pula sebab apa kena basuh.

"Jadi hari ni saya dah faham kenapa perlu basuh bersih-bersih. Sebab nak elakkan kuman dan bakteria," jawab seorang kanak-kanak lelaki ketika berbual dengan mStar.

Russell memaklumkan CSR kali ini bertujuan memberi pengajaran agar kanak-kanak lebih peka terhadap kebersihan, -Gambar Raja Faisal Hishan/SMG

Russell memaklumkan CSR kali ini bertujuan memberi pengajaran agar kanak-kanak lebih peka terhadap kebersihan - Gambar Raja Faisal Hishan

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Sentosa KL Specialist Hospital, Russell Teo Kwang Ming berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak supaya mereka lebih peka terhadap kepentingan menjaga kebersihan diri.

“Program CSR kali ini bertujuan memberi pengajaran kesihatan kepada kanak-kanak supaya mereka tahu cara menjaga diri dan lebih peka terhadap kebersihan, terutama sebelum dan selepas makan.

“Kami turut membawa pegawai perubatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan sekiranya terdapat kanak-kanak yang memerlukan rawatan, kami menyediakan ubat-ubatan untuk mereka,” katanya.

Menurutnya, pendidikan kesihatan seperti itu penting kerana kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada penyakit dan jangkitan juga boleh merebak dengan cepat apabila mereka sering bersama.

“Apabila kanak-kanak memahami kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan, mereka boleh berkongsi pengetahuan itu dengan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan.

“Secara tidak langsung, kesedaran ini dapat membantu membentuk komuniti yang lebih peka terhadap penjagaan kesihatan,” katanya.

Ketinggian kanak-kanak diambil bagi tujuan mengira Indeks Jisim Badan (BMI). -Gambar Raja Faisal Hishan/SMG

Ketinggian kanak-kanak diambil bagi tujuan mengira Indeks Jisim Badan (BMI). - Gambar Raja Faisal Hishan

Dalam pada itu Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, aktiviti CSR ini termasuklah 10 episod program mStar Baek musim ketiga bersama KPJ Healthcare dalam usaha menyantuni golongan memerlukan.

Acara kali ini merupakan penutup program berkenaan yang bertujuan menghadirkan perasaan kasih dan penyayang masyarakat terhadap golongan memerlukan selain membuktikan kepada kanak-kanak berkenaan bahawa golongan terpinggir seperti mereka tidak dilupakan.

"Lapan episod yang diterbitkan sebelum ini melibatkan individu seperti selebriti dan orang kurang upaya (OKU) sementara kali ini, kami mendekati pula anak-anak jalanan yang tidak seharusnya dipinggirkan.

"Menariknya, kanak-kanak ini petah berkata-kata dan mereka dilihat sangat menjaga disiplin. Mereka bertuah kerana mendapat penjagaan yang baik daripada Yayasan Chow Kit," katanya.

Tambah Niezam, sejak disiarkan bermula awal April lalu, program mStar Baek bersama KPJ Healthcare ini meraih lebih lima juta tontonan menerusi semua platform digital mStar.

katanya, ia satu pencapaian membanggakan apatah lagi secara keseluruhan selama empat tahun rancangan ini diterbitkan yang menyaksikan penaja tahun pertamanya ialah Noir Health & Beauty.

Russell (lima dari kiri) bersama team mStar, KPJ Healthcare dan petugas Yayasan Chow Kit.

Russell (lima dari kanan) bersama Niezam (tujuh dari kanan), petugas Star Media Group, team CSR KPJ Healthcare dan pekerja Yayasan Chow Kit bergambar bersama.

Selain Niezam, wakil Star Media Group Berhad yang turut sama ialah Pengurus Besar Jenama Pelanggan, Sara Chacko, Editor Eksekutif, Tung Eng Hwa, dan Pengurus Kanan Produk, Mohd Fuad Mohd Noor.

Manakala, wakil Yayasan Chow Kit yang hadir Pegawai Komunikasi dan Hubungan Luaran, Anil Naidu dan Pekerja Sosial, Nazmi Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Kerja Sosial Yayasan Chow Kit, Tuan Noor Hasini Tuan Omar, berkata setiap hari pihaknya menerima kehadiran kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang yang datang untuk mendapatkan perlindungan, makanan, sokongan serta menyertai aktiviti yang disediakan.

Katanya, pihaknya menyediakan pelbagai program bersesuaian mengikut peringkat umur kanak-kanak, termasuk aktiviti bermain dan belajar bagi golongan lebih muda serta program pembangunan diri untuk remaja.

"Yayasan Chow Kit turut membuka ruang kepada syarikat dan organisasi untuk terlibat dalam program kemasyarakatan bagi memahami realiti kehidupan kanak-kanak serta komuniti di kawasan berkenaan.

“Kadangkala mereka boleh datang dan melihat sendiri situasi di luar sana, bukan hanya berada di dalam bangunan. Mereka boleh meneroka, melihat dan membantu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Artikel Lain