Muhammad Firuz Ibrahim, bapa kepada remaja mangsa tikaman di sekolah di Banting berkongsi keadaan terkini anaknya.
BAPA kepada pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang cedera ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting percaya anaknya bukan sasaran sebenar dalam kejadian yang berlaku pada pagi Isnin.Muhammad Firuz Ibrahim, 43, berkata anak perempuannya yang berusia 15 tahun mengalami kecederaan pada paru-paru kiri akibat tikaman selain beberapa kecederaan lain di belakang badan, muka dan bibir. Ujar Muhammad Firuz, anak perempuannya mengenali suspek kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas pada tahun sebelumnya."Setahu saya, pelajar itu (suspek) tidak dibuang sekolah tetapi sedang menjalani tindakan tatatertib," kata Muhammad Firuz, seorang penghantar barang, ketika ditemui di hospital.Dia juga percaya anak perempuannya hanya berada di tempat yang salah pada waktu yang salah.ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tikam Banting sudah berbulan-bulan tak hadir sekolah, sedang jalani rawatan kesihatan"Dia mungkin paling hampir dengan suspek ketika kejadian. Badannya juga agak besar dan mungkin tidak sempat melarikan diri, sedangkan ramai pelajar lain berjaya menyelamatkan diri," katanya.Mengimbau detik ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu, Muhammad Firuz berkata dia sedang bekerja sebelum menerima panggilan daripada seorang guru."Saya sangat terkejut dan terus bergegas ke sekolah. Apabila sampai, keadaan anak saya serius sebelum dia dibawa ke hospital."Dia sedang menjalani rawatan untuk membuang darah di rongga dadanya. Dia sedar dan boleh bercakap," tambahnya.Menurutnya lagi, anak perempuannya tidak pernah mengadu dibuli atau mempunyai sebarang masalah dengan suspek sebelum kejadian itu berlaku.Sehubungan itu, Muhammad Firuz berharap aspek keselamatan di sekolah dapat dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang."Semua individu yang memasuki kawasan sekolah perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk," katanya.Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor cedera selepas ditikam beberapa kali dalam kejadian pada pagi Isnin.Sebelum kejadian, suspek dilaporkan memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama dengan memakai kemeja-T hitam dan seluar kotak-kotak berwarna merah hitam.Suspek kemudiannya berjaya ditahan sebaik polis tiba di lokasi, manakala sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu turut dirampas.Beberapa rakaman video kejadian yang tular di media sosial memaparkan suspek berjalan di sekitar kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau, manakala pelajar lain dilihat bertempiaran lari menyelamatkan diri. -The Star