suria

Video ‘dashcam’ dedah situasi sebelum kemalangan... Pemandu Nissan Navara didakwa berlumba

Tangkap layar video yang mendakwa pemandu trak pikap berlumba sebelum kemalangan.

KETIKA insiden langgar lari membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara masih hangat diperkatakan, warga maya dikejutkan pula dengan sebuah rakaman yang didakwa sebelum kejadian itu berlaku.

Berdasarkan video papan pemuka (dashcam) yang kini semakin tular, kelihatan aksi dua buah trak pacuan empat roda sedang menghambat antara satu sama lain.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook Traffic Info Crew, dua trak terbabit didakwa adalah Nissan Navara yang dipandu laju di lorong kiri diikuti rapat sebuah Mitsubishi Triton.

Rakaman berkenaan dikatakan berlaku sebelum insiden sebuah Nissan Navara merempuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal berkuasa tinggi berhampiran plaza Tol Jalan Duta.

 

Kemalangan menyebabkan mangsa dirempuh cedera parah.

"Tu dia... tengah racing rupanya dengan geng dia. Lepas tu pusing cerita dalam laporan awal kata mangsa pula yang masuk laluan dia hingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan pada kenderaan dia.

"Wah lain macam 'putar alam' ye, nak claim insurans ke? Terang-terang dalam video dia cilok-mencilok dan melanggar mangsa. Nasib baik netizen semua banyak membantu bongkarkan punca kejadian.

"Semoga lagi ramai saksi tampil serta rakaman video atau kamera litar tertutup (CCTV) kejadian diperoleh bagi membantu siasatan. Semoga mangsa cepat sembuh dan mendapat keadilan dalam kes," tulis pengendali akaun tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa kes langgar lari masih di ICU... Polis sahkan pemandu Navara bukan pemilik kenderaan

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia takut nak turun, bimbang kena pukul” - Pemilik Navara kes langgar lari kesal foto, alamat tersebar

 

Susulan itu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya masih menyiasat mengenai dakwaan mengatakan Nissan Navara yang sama terbabit dalam kejadian lumba sebelum kemalangan.

Pada Ahad mStar melaporkan tentang kes langgar lari hingga menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun dilaporkan mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali manakala isterinya yang berusia 49 tahun cedera parah termasuk pendarahan di kepala serta patah tulang rusuk dan buku lali. 

Kedua-dua mangsa itu kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel Lain