suria

Leka ‘unboxing’ bungkusan curi, dua wanita akhirnya dicekup di tepi jalan!

Tangkap layar video ketika dua individu ini ditangkap kerana mencuri parcel.

KEGIATAN dua wanita yang disyaki mencuri bungkusan (parcel) dari beberapa buah rumah di Setia Alam, Masai di Johor membawa padah apabila mereka berjaya dicekup seorang individu.

Difahamkan aktiviti mereka berjaya dikesan selepas kedua-duanya leka membuka bungkusan di tepi jalan, dipercayai dalam kawasan perumahan terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

“Pihak polis mengesan video kejadian berkenaan yang berdurasi satu minit 31 saat tular dalam Facebook.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.49 petang, Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Sohaimi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Buat masa ini, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan syarikat penghantaran, pemilik bungkusan serta individu lain yang mungkin terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Haikal Kamarulzaman di talian 018-9584479 bagi membantu siasatan.

Artikel Lain