TULAR satu rakaman video memaparkan kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dirempuh dari arah belakang oleh sebuah trak pikap jenis Nissan Navara.
Insiden yang berlaku pada Sabtu di Lebuhraya NKVE menghala ke Tol Jalan Duta itu menyaksikan dua mangsa, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke bahu jalan selepas dilanggar.
Apa yang mengejutkan, kenderaan tersebut dikatakan mempunyai pelekat ‘PDRM’ (Polis Diraja Malaysia) pada bahagian belakang yang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen.
Rakaman itu turut dikongsikan penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau Ariz Ramli, menerusi laman Instagram miliknya.
"Minta PDRM tolong siasat kes langgar lari. Menurut kawan kepada mangsa, 4x4 (trak pikap) Navara ni ada stiker dekat belakang yang tulis PDRM.
"Harap-harap PDRM boleh cepat-cepat semak dan bantu. Insya-Allah. Takut orang awam salah guna stiker," tulis Caprice di kapsyen video.
Sementara itu seorang individu yang dipercayai sahabat kepada mangsa tampil di ruangan komen memaklumkan keadaan terkini pasangan tersebut.
"Terima kasih Caprice, sahabat saya ni sekarang di Hospital Sungai Buloh. Keadaan (berada di) zon merah buat isteri, ditidurkan.
"Suami dia pula mengalami patah bahu dan cedera pada bahagian kaki," tulis individu berkenaan.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah selepas dilanggar lari pemandu Nissan Navara berkenaan.
Dalam perkembangan terbaharu, individu yang memandu kenderaan tersebut dikatakan tampil menyerah diri di balai polis dan membuat laporan berhubung kejadian.
Sebahagian daripada laporan yang didakwa ada kaitan dengan insiden berkenaan tersebar di Thread.
Menurut laporan itu, kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang ketika dia memandu dari Subang menghala ke Kuala Lumpur.
“Ada sebuah motosikal jenis dan nombor kenderaan tidak pasti sudah mengubah laluan dari laluan kecemasan dan masuk ke laluan saya. Saya tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal tersebut.
"Kerosakan kenderaan saya ialah di bahagian bumper hadapan, cermin sisi kiri, fender hadapan sisi kiri. Lain-lain kerosakan masih belum dikenal pasti lagi," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan terdapat laporan polis dibuat pada hari sama oleh pemandu Nissan Navara berusia 32 tahun itu pada pukul 6.55 petang.
Kata Zamzuri, pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan selepas merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa yang masing-masing berusia 53 dan 49 tahun.
Bagaimanapun,mangsa lelaki mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali manakala isterinya cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.
“Pemandu pacuan empat roda tersebut ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya pada Ahad.
Beliau turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054.


