MALANG tidak berbau.
Seorang lelaki rentung selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebatang pokok dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Kuala Langat menghala ke Persiaran Hulu Langat di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor, pada pagi 10 Mei.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang maut adalah seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.
"Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi, mangsa yang memandu kenderaan pikap itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu kiri jalan sehingga menyebabkan keretanya terbakar.
"Mangsa terperangkap dalam kenderaan dan tidak berjaya dikeluarkan sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan," katanya.
Tambah beliau, api berjaya dipadamkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.