suria

Tragedi pulang dari masjid... Penunggang motosikal maut, pembonceng parah rempuh pokok kelapa sawit

Keadaan motosikal yang dinaiki mangsa selepas merempuh pokok kelapa sawit. Foto PDRM

DUA maut dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid, apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di perkampungan Felda Lui Timur di Jempol, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, insiden tersebut berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda C100.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila penunggang berusia 17 tahun dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan melanggar pokok kelapa sawit.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Manakala pembonceng berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Norhisham berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan, boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 0163627746," katanya.

 

Artikel Lain