suria

Jurulatih kecergasan geram wanita sombong di gim, ugut simbah asid

Memeras ugut di tempat awam boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang. -Gambar hiasan

SEORANG jurulatih gimnasium ditahan polis selepas didakwa mengugut untuk menyimbah asid kepada seorang ahli perniagaan wanita dalam kejadian di sebuah pusat kecergasan di Taman Melawati, Ampang, pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di perkarangan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Selasa.

Menurut Azam, kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang, 22 April lalu ketika mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun sedang berehat di gimnasium berkenaan sebelum dihampiri suspek yang kemudian memulakan perbualan.

"Dalam perbualan itu, suspek dikatakan memberi amaran kepada mangsa supaya tidak bersikap sombong jika tidak mahu disimbah asid," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bimbang dengan ancaman tersebut, mangsa yang juga ahli tetap pusat kecergasan itu membuat laporan polis untuk keselamatan dirinya.

Siasatan lanjut mendapati suspek positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC) selepas menjalani ujian saringan air kencing.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Mahkamah membenarkan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan," tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, polis merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara yang kemudian mengarahkan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Suspek didakwa di Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam dan dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

"Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM300 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Julai ini," katanya.

Artikel Lain