suria

Tragis! Warga emas maut, motosikal dirempuh lori ketika keluar dari masjid

HASRAT seorang warga emas untuk pulang ke rumah selepas keluar dari kawasan masjid bertukar tragedi apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori.

Mangsa, Mazlan Ahmad, 68, maut dalam kejadian itu yang berlaku di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, Kampar, Perak, petang Jumaat.

Dalam insiden kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai menuju ke Bidor.

“Lori itu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa yang keluar secara mengejut dari kawasan Masjid Jamek Jeram.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa memasuki laluan utama tanpa memberi laluan, menyebabkan perlanggaran dengan lori berkenaan yang berada di lorong hala Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain