BERPANTANG maut sebelum ajal. Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan detik cemas yang dilalui lima individu yang terselamat selepas kenderaan mereka terbakar dalam kemalangan di KM7.6 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 11.45 malam Selasa itu, lima individu termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan anggota bomba. Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dihantar ke lokasi kejadian. "Pemandu hilang kawalan kenderaan dan terbabas di bahu jalan. "Kesan rempuhan itu menyebabkan kenderaan itu terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, lima mangsa iaitu seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak masing-masing lelaki serta perempuan berjaya diselamatkan. "Hanya seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan. Mereka diserahkan kepada anggota perubatan untuk rawatan lanjut," ujarnya sambil menambah, kenderaan mangsa musnah 100 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.