suria

Lelaki dipenjara 3 bulan curi Milo, Nescafe di pasar mini... Minuman keras pun ada!

Tangkap layar video ketika dua individu itu ditangkap.

SEORANG lelaki tempatan berdepan hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri produk minuman daripada sebuah pasar mini di Hulu Selangor dalam kejadian pada Isnin.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat keputusan itu selepas terduduh, Abu Bakar Subianto, 39, mengaku bersalah di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, pada Khamis.

Memetik laporan Berita Harian, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 20 Januari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa mencuri 14 peket Nescafe 300 gram, 12 peket Milo satu kilogram serta dua tin minuman keras dengan nilai keseluruhan RM610.93.

Antara barang yang dicuri oleh individu tersebut.

Kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 5.30 petang di sebuah pasar mini di Taman Weng Chong, Ulu Bernam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Manakala bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Artikel Lain