SELEPAS penahanan individu kelima pada Isnin, seorang lagi lelaki dipercayai terlibat dalam kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu, ditahan reman tiga hari bermula Selasa. Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. ARTIKEL BERKAITAN: Individu kelima direman kes belasah OKU di pasar tani Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, lelaki tersebut ditahan polis kira-kira pukul 1.50 petang Isnin selepas dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman. Penahanan terbaharu itu menjadikan enam individu ditahan bagi membantu siasatan kes setakat ini. Tambah Wan Muhamad, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.