MENGAMBIL serius aduan yang disuarakan ibu bapa, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertindak menerjah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi pada Ahad bagi melihat sendiri permasalahan yang dibangkitkan. Tanpa memaklumkan kehadirannya kepada pihak sekolah, Asyraf berkata tindakannya itu dilakukan selepas mendapat pelbagai aduan antaranya tandas rosak yang tidak dibaiki, masalah air, tray makanan tidak dibersihkan sempurna dan lain-lain isu melibatkan kebajikan pelajar. "Call Pengetua beritahu saya sampai. Terpinga-pinga pengawal keselamatan tatkala saya tiba di pondok pengawal. Nasib baik dia tak tanya banyak seperti di MRSM lain sebab dia cam saya. Asyraf Wajdi meneliti tray makanan selepas mendapat aduan ia tidak dibersihkan dengan sempurna. "Memang saya tak maklumkan langsung kehadiran saya, sengaja saya ambil flight ke Langkawi untuk #TerjahMRSM Langkawi, sebelum naik bot ke Kuala Perlis mengadap DYMM Raja Perlis sebelah tengah hari. "Ternyata sebahagian aduan mereka ada kebenarannya. Berkali-kali saya pesan pada pihak pengurusan MRSM mahupun Institusi Pendidikan Mara lain. "Termasuk Institusi Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), UniKL dan lain-lain agar beri keutamaan permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti asas yang melibatkan kebajikan pelajar dan guru termasuk tandas, peralatan belajar, asrama, dan kelas-kelas," tulisnya dalam hantaran di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Tilam lunyai, bantal pula busuk! Bapa rayu tindakan segera KPM, tak tergamak biar anak tidur dalam asrama daif Dalam kunjungan mengejut itu, Asyraf mengambil peluang melakukan pemeriksaan di tandas dan beberapa fasiliti di sekolah tersebut termasuk dewan makan. Beliau memeriksa dengan teliti termasuk kerosakan pintu, sinki serta lampu yang langsung tidak berfungsi. Apa yang mengejutkan, satu pintu tandas tumbang sebaik disentuh kerana ia hanya dibiarkan tanpa dibaiki dan ditanda 'rosak'. Asyraf Wajdi melihat sendiri penyediaan makanan untuk pelajar MRSM Langkawi. "Ini lampu pun tak ada... mati semua ni. Sana rosak, rosak, rosak. "Masalahnya ada yang dekat setahun lebih dah. Budak-Budak bukan seorang dua yang cakap. Saya tengok sendiri. "Kalau boleh ini kena regular maintenance la," katanya kepada pihak sekolah tersebut. Berkenaan dengan masalah air di Pulau Langkawi pula, ujarnya pihak Majlis Mara dan Pengurusan telah meluluskan peruntukan khas bagi memastikan bekalan air tidak putus seperti penambahan penyediaan tong menyimpan air dan juga membiayai kos lori air Syarikat Air Darul Aman (SADA). "Moga MRSM Langkawi kembali menjadi MRSM terbaik untuk Sijil Pelajaran Malaysia akan datang. Melihatkan komitmen guru dan sikap positif pelajar, insya-Allah saya doakan ia menjadi kenyataan," tulisnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube