PEMANDU yang didakwa melanggar atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Khamis. Pembantu penyelia kilang itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid. Mengikut pertuduhan, R Dhinesh, 31, didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, 50 miligram melebihi had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu mabuk langgar atlet kayak dibebaskan dengan jaminan polis ARTIKEL BERKAITAN: Atlet kayak cedera serius dilanggar pemandu mabuk, diseret 600 meter... Pelaku buat ‘peace’ selepas insiden Dhinesh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor Bahru, kira-kira pukul 4.19 petang pada 11 Mei lalu. Pertuduhan mengikut Seksyen 44 (1a) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dengan lesen memandu dibatalkan dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan, selain lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh. Terdahulu, pendakwaan meminta jaminan RM20,000 ke atas tertuduh. Namun, tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai penolong penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan. Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali. Siti Nurul Masyitah, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri akibat kecederaan pada bahagian bahu kanan, tulang pinggul dan luka pada bahagian kaki. Pada Rabu, Siti Nurul Masyitah dilaporkan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Abangnya, Muhamad Syafiq, 29, berkata adiknya selesai menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahu kanan pada Selasa, dan berada dalam keadaan stabil. Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal, dilanggar dari belakang oleh sebuah Toyota Vios di kilometer 3.5 Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi. Difahamkan, pelajar itu sering berulang-alik dari rumahnya ke politeknik bagi menjaga ibu bapanya yang sakit. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube