suria

Pejalan kaki temui ajal... Dilanggar kereta, kemudian tercampak ke atas jalan dirempuh beberapa kenderaan

Seorang pejalan kaki maut ketika melintas jalan. -Gambar hiasan

MALANG tidak berbau, seorang lelaki maut dilanggar beberapa kenderaan ketika melintas jalan, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 8.55 malam mengenai satu kemalangan di Kilometer 438 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari arah Rawang menghala Ipoh melibatkan seorang pejalan kaki.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dilanggar oleh beberapa kenderaan lain," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Noor Ariffin berkata, mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa memandangkan tiada dokumen pengenalan diri.

"Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi siasatan dengan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman atau bilik gerakan IPD Gombak 03-61262222," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain