suria

Barang dicampak, diusir keluar homestay sebab lewat check out! Penyewa mengaku jahil, ikut hawa nafsu

Tangkap layar video kejadian di sebuah homestay.

KECOH insiden tetamu di sebuah homestay dihalau oleh pemilik gara-gara lewat mendaftar keluar.

Susulan kekcohan yang berlaku, penyewa mahupun pemilik homestay masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan menuding jari antara satu sama lain.

Akhirnya kedua-kedua pihak dianggap melakukan kesilapan apabila pemilik homestay dikecam kerana tidak beradab melempar barang tetamu, manakala penyewa pula mementingkan diri sendiri dan tidak mematuhi peraturan menginap.

Malah, rating (penarafan) untuk homestay di Alor Setar, Kedah ini turut jatuh disebabkan kejadian tular itu.

Antara barang yang dicampak ke luar rumah.

Terbaharu pemilik homestay tampil mengakui insiden yang berlaku turut berpunca daripada pihaknya yang terlalu mengikut emosi.

"Kesilapan daripada mak saya juga kerana bertindak mengikut emosi. Dengan rendah hatinya segala komen baik atau buruk kami terima dengan hati terbuka agar kejadian seumpama ini mampu kami tangani dengan lebih berhemah dan wajar tanpa terikut emosi.

"InsyaAllah kami akan berusaha untuk perbaiki lagi perkhidmatan kami," kata anak pemilik menerusi satu kenyataan di Facebook homestay itu, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Usir tetamu, campak keluar barang! Pemilik homestay dedah kisah sebenar - “Ada duit bukan pelepasan buat apa saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Homestay bau bangkai sebab tetamu tinggal telur lepas check-out, pemilik gembira dapat jadi ‘bapa 13 itik’

Selain itu, pemilik homestay turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memahami situasi mereka berhubung kejadian itu.

"Terima kasih juga kepada yang bantu kami naikkan semula rating homestay dan mereka yang menghantar mesej kata-kata semangat secara peribadi kepada kami.

"Kami hargai sangat-sangat semoga Allah membalas jasa baik kamu semua. Kepada yang mengecam di media sosial, telefon dan WhatsApp mak saya, kami dah maafkan," ujarnya.

Mesej yang dihantar antara tetamu dan pemilik homestay.

Mengulas lanjut, mereka juga telah mengadakan sesi perbincangan bersama tetamu berkenaan.

"Kami dah pun bermaafan dan berdamai secara baik. Jadi, saya minta tolong jasa baik semua untuk tidak lagi memanjangkan kes ini dan bermaaf-maafan antara satu sama lain," katanya sambil menambah laporan polis akan dibuat atas faktor keselamatan berikutan banyak maklumat mengenai ibunya tersebar melalui video-video yang tular.

Saya mengambil ini sebagai pengajaran yang terbaik untuk saya.

TETAMU HOMESTAY

Perkara itu turut diakui oleh kumpulan tetamu yang didakwa bermasalah, sambil menambah mereka sudah berdamai dan bermaafan dengan pemilik homestay.

"Kata putus perbincangan semalam pihak homestay mencadangkan pihak kami tidak perlu membuat sebarang video permohonan maaf cukup sekadar bermaafan.

"Cuma tujuan saya up posting ini ialah inisiatif saya sendiri dengan rendah diri ingin menyatakan kedua-dua pihak sudah selesaikan isu ini dengan damai," kata salah seorang tetamu menerusi satu hantaran di Facebook, pada Selasa.

Salah seorang tetamu bersemuka dengan seorang wanita dipercayai pemilik homestay.

Susulan itu, dia yang juga berniaga dengan rendah diri memohon maaf kepada semua atas keterlanjuran dan kekhilafan yang dilakukan.

"Saya mengambil ini sebagai pengajaran yang terbaik untuk saya. Saya maafkan semua yang memaki, menghina dan mencerca kerana semuanya berpunca daripada kejahilan diri saya sendiri mengikut hawa nafsu," jelasnya.

Pada Sabtu lalu, mStar melaporkan mengenai sekumpulan tetamu yang berang apabila diberi layanan buruk gara-gara lewat mendaftar keluar.

"Ya, saya mengaku kami lambat check out. Kalau makcik (pemilik homestay) nak kenakan bayaran sehari RM100 hingga RM200 pun saya bayar.

"Tapi jangan halau kami macam anjing baling makanan apa semua. Allahuakbar," katanya dengan nada kesal menerusi satu rakaman video yang tular.

Wanita dipercayai pemilik homestay menutup pintu pagar rumah selepas tetamu mendaftar keluar.

Pihak pemilik homestay kemudian tampil menafikan tetamu bukan mendaftar keluar lewat sejam, sebaliknya lebih dua setengah jam selepas diberikan kelonggaran sehingga pukul 1 petang tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

"Pukul 2.25 petang, mak saya sampai homestay, tanya kenapa tak keluar lagi dah lebih dua setengah jam lewat check out. Tuan dan team boleh layan mak saya macam tunggul, buat tak tahu saja, ada yang masih bertuala ke hulu ke hilir.

"Video ni sebenarnya pukul 2.30 petang. Dekat mana yang satu jam lewat? Dua setengah jam dah lewat.

"Macam mana mak saya tak naik angin, dari awal dah biadab dengan dia buat tak tahu saja bila habaq (beritahu) kena check out, ada duit bukan boleh bagi tuan pelepasan untuk buat apa saja yang tuan suka," kata anak pemilik homestay.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain