suria

Wanita dalam ketakutan sempat rakam kelibat lelaki misteri - “Saya tidak berkhayal, dia ikut berterusan”

Tangkap layar daripada dua buah video dikongsikan mangsa.

POLIS sedang memburu individu lelaki yang didakwa mengekori seorang wanita dalam kejadian di Arcoris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang mendakwa diekori sekitar pukul 11 pagi, Isnin lalu.

“Siasatan awal dilakukan mendapati suspek disyaki mengekori pengadu dari belakang hingga ke Kiara 163 di Jalan Kiara di Kuala Lumpur.

“Ketika kejadian, pengadu berjalan bersendirian dan ada merakam video suspek mengekorinya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas Amihizam, pengadu juga memuat naik dua rakaman video pendek melalui satu pautan sebuah aplikasi media sosial.

“Usaha mengenal pasti dan mengesan suspek masih diteruskan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes." katanya.

Terdahulu, video seorang wanita mendakwa diekori lelaki yang dimaksudkan ketika dia berada di beberapa premis sekitar Mont Kiara tular di media sosial.

Sebagaimana dikongsikan di X, individu tersebut bagaimanapun tidak mengakui perbuatannya ketika ditanya oleh mangsa.

"Saya sedang diintip seseorang dan dia ikuti saya ke mana-mana saja. Saya tak pernah muat naik apa-apa pada waktu sebenar tapi kali ini sangat menakutkan saya.

"Saya juga ada bertanya dia secara berdepan kenapa ikut saya tapi dia nafikan. Saya rakam video dia, jadi semua orang boleh peka dan berhati-hati dengan lelaki ini.

"Saya pergi ke beberapa kedai berbeza untuk memastikan saya tidak berkhayal, tetapi dia memerhati saya dari arah bertentangan dan hanya berterusan mengikut saya," tulis wanita berkenaan pada kapsyen video.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh disalur ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain