suria

Wanita awal 20-an ditahan curi barang kemas bernilai hampir RM10,000

Pencuri akan didakwa mengikut pertuduhan ke atasnya. -Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 20-an ditahan polis berhubung siasatan kes curi barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 di Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.25 petang Khamis dari sebuah kedai barang kemas di Taman Seri Orkid, Skudai.

“Berdasarkan siasatan, kami berjaya mengesan seorang suspek dan menahannya di Taman Abad, Johor Baru, pada 11.36 malam hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan latar belakang mendapati suspek tidak mempunyai dokumen sah dan negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Polis turut merampas dua resit kedai pajak gadai dan wang tunai bernilai RM9,400 serta sebuah kenderaan.

Suspek telah direman sehingga 13 November ini, bagi membantu siasatan termasuk beberapa kes lain.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Talib berkata, polis kini sedang mencari seorang lelaki yang didakwa mencuri barang kemas bernilai RM9,800.

“Sebuah kedai barang kemas di Jalan Gambir, Bukit Gambir disamun pada pukul 2.40 petang Selasa.

“Suspek menghampiri seorang pekerja kedai itu dengan berpura-pura membeli barang kemas tetapi melarikan diri selepas barang kemas itu diserahkan kepadanya,” kata beliau.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi hotline polis Tangkak di talian 06-978 1222.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain