suria

Bergelut di pasar Georgetown, lelaki ditahan selepas tikam mangsa

Permohonan reman perlu dibuat ke atas setiap individu yang ditahan polis. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki cedera di kaki dan perut selepas ditikam dengan senjata tajam dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah pasar, di Georgetown, Pulau Pinang pada pukul 3 petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa berusia 26 tahun itu ditemui dalam kesakitan dan berlumuran darah di dalam keretanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan masalah hutang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, hasil siasatan lanjut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berjaya menahan seorang lelaki berusia 51 tahun pada pukul 6.40 petang.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata," katanya.

Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat D7 IPD Timur Laut, Asisten Superintenden K Linkeswaran di talian 04-2181831 untuk membantu siasatan.

"Saya menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang gambar atau video berkenaan kejadian tersebut," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain