suria

‘Seram’ campur lucu YDPA pandang atas bawah diminta sign jersi Arsenal - “Tuanku sokong Liverpool sebenarnya tu”

Yang di-Pertuan Agong diminta menandatangani jersi pasukan bola sepak Arsenal.

"HATI-HATI penyokong Arsenal, boleh kena hukum ni sebab minat apa Yang di-Pertuan Agong tak suka."

Demikian antara komen netizen yang mencuit hati apabila melihat reaksi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika diminta menandatangani jersi pasukan bola sepak Arsenal oleh seorang pemuda.

Melalui satu video tular di TikTok, Yang di-Pertuan Agong sedang menyantuni rakyat jelata ketika Kembara Kenali Borneo edisi Sabah sebelum baginda dihampiri oleh seorang pemuda dengan satu permintaan khas.

Pemuda tersebut menghulurkan sehelai jersi pasukan Liga Perdana Inggeris itu untuk ditandatangani dan sebatang pen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Reaksi yang diberikan Yang di-Pertuan Agong.

"Boleh ke nak tandatangan dengan permaisuri sekali," ujar pemuda itu mencuba nasib.

Baginda sudi untuk memenuhi permintaan tersebut selain turut meminta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menandatangani kit pasukan berkenaan.

Walaupun begitu, apa yang menarik perhatian ramai apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan jelingan kepada pemuda berkenaan selepas menandatangani jersi tersebut.

"Kamu Arsenal ya?" tanya Yang di-Pertuan Agong kepada pemuda itu.

"Ya betul," ujar pemuda tersebut dengan nada teruja.

"Owh bagus," jawab Yang di-Pertuan Agong sambil memberikan pandangan tajam kepada pemuda berkenaan.

Pemuda ini bergambar bersama jersi pasukan Arsenal yang sudah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

Pemuda tersebut kemudiannya sempat berkongsikan beberapa foto di media sosial memaparkan dia bergambar bersama jersi Arsenal yang sudah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, jelas menunjukkan kegembiraan tak terkata.

Sebagai rekod, dalam satu temu bual bersama Astro Awani, Yang di-Pertuan Agong pernah bertitah jika diberikan pilhan antara Manchester United dan Liverpool, baginda akan memilih untuk menyokong Liverpool.

Sementara itu, warga maya lain pula menzahirkan rasa terhibur melihat gurauan mesra dari Yang di-Pertuan Agong.

"Tuanku sokong Liverpool sebenarnya tu, memang tak boleh terima ada penyokong Arsenal nak datang dekat.

"Ampun Tuanku, nampak macam marah betul tu.

"Kalau zaman Kesultanan Melayu Melaka ni, mamat ni mesti dah kena angkut tepi sebab buat Yang di-Pertuan Agong murka," kata sebahagian warga maya berjenaka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain