suria

Semua model Beechcraft 390 akan disiasat, ini 13 fakta pesawat yang terhempas di Elmina

Beechcraft Model 390 (Premier 1).

KEMENTERIAN Pengangkutan akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan terhadap semua pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

Menterinya Anthony Loke berkata kementerian tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penggantungan operasi model pesawat itu.

“Saya akan meminta CAAM menyiasat dan sebarang keputusan akan dibuat dengan teliti selepas siasatan oleh pakar teknikal dan pihak berkuasa.

"Jadi tiada keputusan tergesa-gesa dibuat pada ketika ini, dan sudah tentu, CAAM akan menjalankan siasatan terperinci terhadap model pesawat yang sedang digunakan di Malaysia," katanya, Jumaat.

Pada Khamis Jet Valet Sdn Bhd mengesahkan pesawat eksekutif, Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV yang terhempas di Elmina dekat Shah Alam petang Khamis adalah milik mereka.

Sehingga kini pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai insiden itu dan akan memberi komitmen penuh serta kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

"Pada masa ini, pihak Jet Valet tidak dapat mengesahkan sebarang butiran lain secara rasmi, termasuk kemalangan jiwa kerana menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.

"Segala maklumat dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan syarikat itu pada Khamis.

Di laman webnya, Jet Valet berkata syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian perjalanan udara persendirian dan perkhidmatan jet peribadi yang fleksibel, mewah dan berpatutan.Sementara itu,

Insiden membabitkan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dilaporkan terhempas di atas jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina di mana seramai 10 mangsa, kesemuanya warga tempatan disahkan maut dalam kejadian itu.

Mangsa sempat bergambar sebelum nahas.

Berikut adalah 13 fakta mengenai jet eksekutif ini yang diperoleh melalui carian internet.

1. Salah satu pesawat sewaan khas dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd selain Hawker Beechcraft 4000 dan Gulfstream G4.

2. Menawarkan penerbangan ke beberapa lokasi antaranya Kota Kinabalu, Langkawi, Kuching, Bali, Jakarta, Dubai dan Bangkok.

3. Pesawat persendirian enjin berkembar yang dibuat oleh pengeluar Amerika Syarikat, Hawker Beechcraft Corporation.

4. Menggunakan dua enjin turbofan Williams FJ 44-2A (bahagian belakang) yang mana setiap satu menghasilkan kuasa 10.23kN (kilonewtons).

5. Ia dikeluarkan bermula 1998 hingga 2013 dengan jumlah pengeluaran 298 unit.

6. Menurut Guardian Jet nilai harga pasaran pesawat berkenaan adalah AS$1,549,000 (RM7.2 juta).

7. Mempunyai kelajuan maksimum hingga 840 kilometer sejam (km/j).

8. Pesawat boleh mencapai altitud maksimum sehingga 41,000 kaki dengan berat pendaratan maksimum 11,600 pound atau 5,262 kilogram.

9. Direka untuk membawa enam penumpang dan satu hingga dua krew penerbangan pada satu-satu masa.

10. Jarak penerbangan maksimum sekitar 2,500km.

11. Keluasan: Kabin berukuran 4.11 meter panjang dan lebar 1.69 meter serta tinggi 1.68 meter, menjadikan keluasan keseluruhan kabin 8.9 meter padu.

12. Memiliki kemudahan lain seperti tandas, almari, meja eksekutif, kabin AFT dan outlet 115V..

13. Nahas ini merupakan kemalangan kelima membabitkan kapal terbang buatan Amerika itu dalam tempoh 46 tahun. Jet Valet

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain