suria

Penyampai radio wanita tergamam lelaki berseluar pendek ada dalam rumah... Rupanya sudah 4 kali, buat macam apartment sendiri!

Emely berkongsi pengalaman pahit mengenai kediamannya dicerobohi lelaki tidak dikenali. -Gambar FB Emely Poon

BAYANGKAN jika seseorang yang tidak dikenali menceroboh dan muncul di dalam kediaman anda secara tiba-tiba.

Sudah tentu ia sesuatu yang amat menakutkan lebih-lebih lagi jika anda seorang wanita.

Itulah yang dialami oleh seorang penyampai radio popular, Emely Poon di mana pangsapurinya diceroboh seorang lelaki tidak dikenali sejak beberapa minggu lalu.

Emely yang sudah membuat laporan polis terhadap insiden tersebut berkongsi pengalaman pahitnya di Facebook.

"Ini adalah pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan semuanya berlaku pada 9.30 pagi, 11 Julai lalu sebaik sahaja saya pulang dari penggambaran di Chiang Mai, Thailand.

"Sebaik sahaja masuk ke unit apartmen, saya mendapati lelaki muda ini berada di dapur, dan dia berpakaian t-shirt dan seluar pendek.

"Saya menyuruhnya keluar, dan di sini saya mengetahui bahawa dia telah menceroboh kediaman saya sebanyak empat kali," kata Emely yang menetap di Kajang, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurufoto hilang sabar 8 tahun diganggu lelaki gila seks, gigih ikut sampai UK! Fahmi Fadzil janji ambil tindakan - “Dia tak patut wujud dalam masyarakat”

Dia juga sempat merakam video menggunakan telefon bimbit ketika bersemuka dengan lelaki tersebut.

Penyampai MyFM itu berkata, lelaki berkenaan sudah biasa dengan struktur apartmennya dan menggunakan tangga kecemasan kebakaran untuk memanjat ke balkoninya tanpa dikesan CCTV.

Apa yang mengejutkan, lelaki tersebut turut mengaku menceroboh kediamannya apabila dia sudah keluar bekerja pada awal pagi.

Dalam catatan berasingan di laman sosial tersebut, Emely turut berkongsi beberapa tangkapan skrin perbualan dengan jirannya.

Mereka memberitahu Emely bahawa pernah melihat lelaki itu beberapa kali namun menyangka dia adalah teman lelakinya.

Emely turut membuat aduan kepada pihak pengurusan kediaman dan menggesa agar mereka meningkatkan tahap keselamatan agar kejadian sama tidak berulang.

"Saya hidup dalam ketakutan sekarang. Saya berdoa agar pihak pengurusan (kediaman) dan polis akan melakukan apa yang mereka perlu lakukan," katanya lagi.

Emely yang turut berkongsi tangkap layar laporan polis yang dibuatnya mendedahkan penceroboh berkenaan dikenakan denda RM3,000 atas kesalahan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain