Anggota bomba menjalankan misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, Kemaman. -Gambar JBPM Kemaman
OPERASI mencari dan menyelamat yang memasuki hari keenam menemukan satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, Kemaman. Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, mayat tersebut ditemui kira-kira pukul 9.20 pagi Jumaat oleh anggota pasukan penyelamat pada jarak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. Hanyan turut mengesahkan identiti mayat tersebut adalah Muhammad Fikri Saliman, 24, berdasarkan proses cap jari yang sepadan dengan mangsa. Dengan perkembangan terbaharu itu, bermakna sembilan mangsa tragedi tersebut sudah ditemukan setakat ini. ARTIKEL BERKAITAN: Perkelahan bertukar tragedi! 2 maut, 8 hilang dalam insiden kepala air Dalam kejadian Sabtu lalu, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku. Selain Muhammad Fikri, lapan mangsa lain yang ditemukan sejak Ahad adalah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. Mayat Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah,16, ditemukan pada Selasa. Seorang lagi yang masih belum ditemukan ialah Putri Nur Fatin Karim, 14. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube