suria

Polis cari 2 individu bantu siasatan kes bunuh di medan selera Lukut

Pihak polis sedang menjejaki dua individu untuk bantu siasatan kes bunuh.

POLIS sedang mengesan dua individu yang merupakan saksi utama kes pembunuhan seorang lelaki berusia 38 tahun di sebuah medan selera di Pekan Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, dua individu itu merupakan seorang lelaki bernama Sin Poo Kiong, 40 tahun dan seorang wanita, Leong Kar Yan berusia 34 tahun.

Masing-masing beralamat terakhir di Bandar Baru Permas Jaya, Masai Johor dan Taman Johor Jaya, Johor Baharu.

"Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan kita sedang mengesan dua orang saksi utama ini yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 1 Mac lalu seorang lelaki ditemukan mati dipercayai ditikam dengan objek tajam dalam kejadian di hadapan Medan Selera Lukut Jalan Besar pada pukul 7.35 malam.

Sejurus menerima maklumat tersebut, pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Sementara itu tambah Muhamad Mustafah, pihak polis memohon jasa baik orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan saksi utama kejadian ini untuk segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.

Selain itu, mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Muhammad Azril Ahmad Rapiee di nombor 012-7791224. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain