suria

Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah simpan gambar dan video lucah bekas kekasih

Haqiem Stopa merupakan ikon permotoran anak muda.

IKON permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Selayang, Selangor, Rabu atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas teman wanitanya.

Tertuduh iaitu Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri dua telefon bimbit.

Dua telefon itu ialah jenis iPhone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus milik tertuduh.

Terdahulu, pada 10 Disember, polis telah menahan Muhammad Sadzri kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata suspek ditahan sehari sebelumnya untuk siasatan selepas polis menerima laporan yang dibuat mangsa.

Haqiem Stopa telah diangkat sebagai ikon permotoran anak muda oleh bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Mei tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikon Permotoran kena saman tak ada lesen memandu? Nama Haqiem Stopa sekali lagi jadi bahan jenaka netizen

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.30 petang 9 Disember lalu di sebuah rumah di Rawang.

Pertuduhan terhadap Muhammad Sadzri dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan pada 23 Februari depan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili Muhammad Sadzri memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia bekerja sebagai pencipta kandungan dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu berkata, tertuduh akan dijamin oleh kakaknya. - Utusan

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain