suria

“Tak sabar tengok pembaharuan” - Netizen teruja Hannah Yeoh terajui KBS, Tengku Zafrul kembali ke Kabinet... harap KJ, Nurul Izzah turut disenarai

Tengku Zafrul dan Hannah Yeoh antara yang menjadi sebutan ramai.

BARISAN Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan akhirnya mengakhiri teka-teki rakyat Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat malam.

Jemaah Menteri di bawah tampuk kepimpinan Anwar itu berjaya dibentuk selepas hampir dua minggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menutup tirai.

Anwar mengumumkan barisan Kabinet Baharu semalam

Anwar mengumumkan barisan Kabinet baharu pada Jumaat malam.

Kabinet baharu yang dibentangkan itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Antara yang mencuri tumpuan netizen adalah pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perladangan Antarabangsa dan Industri.

Selain itu, Tengku Zafrul yang merupakan bekas Menteri Kewangan juga dilantik sebagai Senator dalam kalangan Ahli Dewan Negara bagi menjawat jawatan itu.

Pada PRU15, Tengku Zafrul tewas di kerusi Kuala Selangor kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki terjawab! Anwar umum barisan Kabinet... Zahid, Fadillah jadi TPM

"Tengku Zafrul diberikan peluang untuk menjadi sebahagian dari barisan Kabinet Kerajaan walaupun tewas dalam PRU15.

"Saya harap Nurul Izzah, Khairy Jamaluddin dan Maszlee Malik juga boleh diberikan peluang kedua yang sama," ujar seorang warga maya.

Nurul Izzah, Khairy dan Maszlee turut kecundang pada PRU15 di parlimen masing-masing di Permatang Pauh, Sungai Buloh dan Simpang Renggam.

Netizen mengharapkan peluang kedua dapat diberikan kepada Nurul Izzah dan Khairy Jamaluddin.

Maszlee ini sebelum ini antara yang disebut-sebut layak menjadi Menteri Pendidikan.

Seterusnya, Hannah Yeoh yang menjawat Menteri Belia dan Sukan juga menjadi bualan hangat netizen.

Ahli Parlimen Segambut itu sebelum ini memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rata-rata netizen bersetuju dengan pelantikan tersebut dan mengharapkan nafas baharu dapat dibawa ke dalam arena sukan negara.

"Yang Berhormat (YB) tolong kurangkan bajet untuk bola sepak supaya sukan lain seperti badminton, hoki, renang dan terjun boleh dapat perbelanjaan yang diperlukan.

"Harap YB boleh bangunkan sukan permotoran negara. Buat litar kekal di setiap negeri dan tambah satu lagi litar Gred A FIM dan Gred 1 FIA sebagai tambahan kepada Litar Sepang.

"Tak sabar nak tengok pembaharuan yang akan dibawa YB Hannah untuk sukan negara kita," kata netizen yang teruja Hannah Yeoh menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Empat senator baharu angkat sumpah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain