suria

Serbu parti di kelab malam, Jawi tahan 20 lelaki berpakaian wanita

20 lelaki berpakaian wanita ditahan dalam serbuan itu.

SERAMAI 20 lelaki ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana memakai pakaian wanita dalam serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Sultan, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam, Sabtu, dalam operasi bersama yang terdiri daripada polis, Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"20 lelaki berusia 22 hingga dan 34 tahun itu ditahan Jawi di bawah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

"Selain memakai pakaian wanita, mereka juga menyamar sebagai wanita," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pihak berkuasa memeriksa 53 lelaki dan sembilan wanita di premis itu, katanya.

"Kami turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun yang didapati positif Tetrahydrocannabinol (THC).

"Kami akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan ke atas kelab dan memantau aktiviti yang tidak mematuhi undang-undang," kata Noor Dellhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis serbu parti liar kolam renang, 303 ditahan

Dalam tweet pada Ahad, aktivis dan peguam Siti Kasim berkata: "Komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual, dan transgender) terus ditindas dan dianiaya kerana melakukan aktiviti yang sah seperti orang lain. Ia adalah penganiayaan."

Aahli Parlimen Klang Charles Santiago turut menggesa pihak berkuasa berhenti menyasarkan komuniti LGBTQ+.

"Penindasan yang disasarkan terhadap komuniti LGBTQ+ ini berpotensi mencetuskan jenayah kebencian, yang kita lihat berlaku di Malaysia. Saya menggesa pihak berkuasa untuk berhenti memburu mereka seolah-olah mereka penjenayah," katanya dalam siri tweet pada Ahad.

Aktivis LGBTQ+ Malaysia Numan Afifi, yang merupakan salah seorang daripada 20 lelaki yang disiasat kerana menghadiri parti itu menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang trauma.

Dia juga memaklumkan menerusi Twitter bahawa semua yang ditahan telah dibebaskan selepas Majistret menolak permintaan untuk menahan mereka. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain