suria

“Wajah yang dulunya suram, kini mampu senyum semula” – Tengku Zafrul sifatkan nasib usahawan, penjaja terbela bawah Bajet 2023

Karnival Usahawan Dan Koperasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Selangor di Puncak Alam. - KK SHAM/The Star

SERAMAI 32 usahawan dan koperasi telah menerima bantuan pembiayaan ketika penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor di Puncak Alam, Khamis.

Bantuan pembiayaan itu merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berserta agensi-agensi di bawahnya dengan jumlah keseluruhan mencecah RM486 juta.

Bantuan tersebut diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir merasmikan program berkenaan.

Karnival anjuran bersama Kuskop dan Kementerian Kewangan (MoF) itu menerima sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 10,000 jemputan dari kalangan usahawan, anggota koperasi, penjaja dan peniaga kecil.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir ke karnival.

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang menyifatkan program tersebut sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh negara dalam

menghadapi pelbagai cabaran selain memberi manfaat kepada para usahawan.

"Jika kita imbas kembali tahun 2020 dan 2021, memang amat perit bagi semua usahawan, lebih-lebih lagi peniaga kecil untuk menghadapi cabaran Covid-19.

"Namun, kerajaan sentiasa responsif dalam membantu Keluarga Malaysia termasuk para usahawan melalui pelbagai pakej bantuan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM530 bilion.

"Saya dapat lihat sendiri wajah-wajah yang dulunya suram, kini mampu tersenyum semula," kata beliau.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berucap sebelum pelancaran karnival.

Selain itu, Tengku Zafrul juga berkata Bajet 2023 yang dibentangkan beliau berpandukan 3R iaitu Responsive, Responsible and Reformist atau Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.

"Dari sudut Responsif, Bajet 2023 ini sememangnya ada berita baik buat usahawan semua.

"Bagi merancakkan dan membina daya tahan sektor perniagaan, kerajaan telah mencadangkan untuk menambah baik program SemarakNiaga dengan nilai keseluruhan berjumlah RM45 bilion.

Tengku Zafrul menyantuni pengunjung yang hadir ke karnival.

"Sejumlah RM1.7 bilion daripadanya tersedia khas sebagai dana pinjaman mikro dan kemudahan perniagaan untuk manfaat peniaga kecil," ujar beliau.

Seterusnya geran one-off sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada semua syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berdaftar.

"Kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

"Ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada sejumlah 150,000 PMKS," tambah Tengku Zafrul.

Picture6

Keadaan di sekitar tapak karnival yang bertujuan memberikan peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan.

Keadaan di sekitar tapak karnival yang bertujuan memberikan peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan.

Manakala golongan belia juga tidak diketepikan apabila sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman melalui SME Bank, Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), Mara (Majlis Amanah Rakyat), BSN (Bank Simpanan Nasional) dan Agrobank.

Tiada diskriminasi, kaum wanita juga menerima pengiktirafan dalam Bajet 2023 apabila dana pembiayaan bernilai RM235 juta diagihkan kepada mereka bagi mendorong perniagaan yang diusahakan.

Dana pembiayaan itu adalah di bawah bebeberapa skim seperti Semarak-Nita BSN, Tekunita Tekun, Dananita Mara dan Bizlady Bank Rakyat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain