suria

PRU15: Anwar beri bayangan Nurul Izzah pertahan Permatang Pauh

Nurul Izzah berkemungkinan bertanding di Permatang Pauh.foto FAIHAN GHANI/The Star

BERKEMUNGKINAN besar Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Kemungkinan ke arah itu (Nurul Izzah mempertahankan Permatang Pauh), kemungkinan besar, sangat besar," kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Pimpinan PKR Pulau Pinang, di Spice Arena Bayan Baru, Pulau Pinang pada Sabtu malam.

Timbul spekulasi bahawa anak perempuan beliau, Nurul Izzah, akan bertanding di Parlimen Ampang, dengan Ketua Wanita PKR, Senator Fadhlina Sidek menggantikannya di Permatang Pauh.

Nurul Izzah sebelum ini menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU15 akan datang tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

pru15 logo

Pada PRU14, Nurul Izzah memenangi kerusi itu selepas menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Mohd Zaidi Said dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dengan majoriti 15,668 undi.

Nurul Izzah merupakan pengerusi majlis kepimpinan semasa bagi tiga negeri di utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Mengenai rundingan kerusi antara parti komponen Pakatan, Anwar berkata,kebanyakannya telah selesai dengan hanya beberapa lagi yang masih dibincangkan.

"Selepas perbincangan selesai, setiap jawatankuasa pilihan raya negeri akan memulakan proses tapisan sebelum sampai kepada saya," kata Anwar. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain