suria

Kes rasuah projek solar: Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya. foto Bernama

DIKEMASKINI

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Rosmah didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hybrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Kesemua penjara itu adalah selama 30 tahun, namun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak maka Rosmah hanya dipenjara selama 10 tahun.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan Rosmah menangguhkan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Hakim Mohamed Zaini memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaannya.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah, 71, didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur, antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 September 2017.‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬‬

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain