suria

Kemalangan 5 pelajar USAS: Bedah siasat selesai, jenazah boleh dituntut

Jenazah tiga lagi pelajar USAS dijangka dapat dituntut waris keluarga pada Jumaat.

PROSES bedah siasat yang dijalankan ke atas ketiga-tiga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan tragis selepas Terowong Menora, Rabu lepas di Hospital Taiping, telah selesai.

Difahamkan jenazah kesemua mangsa dijangka dapat dituntut waris keluarga pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan dedah arwah selalu ke masjid, bantu beri pinjam duit sebelum raya

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan kuliah tak sangka persahabatan 5 mangsa utuh sampai ke akhir hayat, ada hasrat tidak kesampaian

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihak hospital kini sedang membuat pemeriksaan dental bagi mengesahkan identiti mangsa.

"Data-data mengenai rekod pergigian mangsa telah diperoleh. Polis dimaklumkan proses ini memerlukan tempoh masa antara dua hingga tiga jam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sekitar jam 9 pagi pada Jumaat, jenazah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dibawa ke Hospital Taiping untuk mempercepatkan proses bedah siasat yang turut dibantu pakar dari Hospital Kuala Lumpur.

Pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima mangsa yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.

Identiti kedua-dua mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

Jenazah dua sekawan itu telah dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS pada malam Khamis untuk solat jenazah selepas solat Isyak dan selamat dikebumikan di kampung masing-masing. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain