suria

Curi rantai tangan emas, pasangan kekasih dihukum penjara 6 bulan

Tertuduh dipenjara enam bulan.

PADAH melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pasangan kekasih dihukum enam bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada Isnin.

Kegiatan mereka pernah tular di media sosial Facebook baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Hamil Enam Bulan Ditahan Selepas Curi Gelang Emas

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Effendi Sanusi Gunarto, 24, dan Nur Sabrina Khairul, 22, selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram milik sebuah kedai di Pekan Kuala Pilah.

Perbuatan itu dilakukan di Kedai Emas Pilah, Jalan Dato Undang Johol, Kuala Pilah pada 8 April lepas, kira-kira jam 3.45 petang.

Berikutan itu tertuduh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali yang kedua atau kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah di sini pada 8 April lalu. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain