suria

Dari Korea ke Malaysia... Si manis Tara Choi sahut cabaran berpuasa sempena Ramadan, ‘5 hari’ belajar mensyukuri nikmat

Tara pertama kali datang ke Malaysia pada tahun 2018.

KEDATANGAN bulan Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam, malah turut dirasai oleh masyarakat berlainan agama di negara Malaysia.

Tidak terkecuali si cantik manis dari Korea Selatan, Tara Choi yang ikut sama berpuasa selama lima hari sempena Ramadan kali ini.

Senang disapa Tara, dia yang sudah berkelana di Malaysia sejak 2018 mengakui terbuka hati untuk berpuasa bagi menyahut cabaran rakan-rakannya beragama Islam, sekali gus dapat memahami ibadah itu dengan lebih mendalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Kak Long 7E melimpah-ruah, bisnes bazar makin kencang... Jadikan Ramadan bulan perbaiki akhlak, dekatkan diri kepada Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... 2 tahun tahan rindu, anak sedih ada halangan lain tak dapat balik Sabah pada hari kematian bapa - “Ramadan kali ini rasa kosong, tiada apa ditunggu”

"Ini kali pertama saya berpuasa. Saya ambil keputusan untuk berpuasa bagi menyahut cabaran yang diberikan oleh rakan-rakan beragama Islam.

"Jadi saya cuba untuk berpuasa selama lima hari bermula 3 April lalu. Kawan-kawan banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar untuk saya berpuasa dengan betul," ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, wanita berusia 27 tahun itu mengakui berhadapan detik sukar apabila dia langsung tidak mempunyai selera makan untuk bersahur seawal pukul 5 pagi.

Namun Tara yang bekerja sebagai content coordinator di Kuala Lumpur berkata, pengalaman tidak ternilai itu membolehkan dia menghargai nikmat yang ada, sekali gus mengingatkan dirinya tentang penderitaan penduduk di negara-negara miskin.

tara2

Tara bekerja sebagai content coordinator di Kuala Lumpur.

"Paling sukar tentunya nak bangun bersahur pukul 5 pagi setiap hari. Saya kena paksa diri untuk makan walaupun tidak berselera.

"Pada hari ketiga saya berpuasa, saya hanya makan mi segera untuk sahur. Akibatnya, saya dahaga sepanjang hari. Saya tak kisah jika lapar, tapi dahaga memberi cabaran yang sangat besar buat saya.

Walaupun saya berpuasa lima hari, pengalaman ini membuatkan saya lebih menghormati umat Islam yang berpuasa selama 30 hari.

TARA CHOI

WARGA KOREA DI MALAYSIA

"Walau apa pun cabaran, saya paling gembira apabila tiba waktu iftar. Saya ingat lagi ketika hari pertama puasa. Air yang saya minum masa berbuka rasa sedap sangat.

"Pengalaman ini juga membuatkan saya lebih bersyukur tentang nikmat makanan dan minuman yang kita miliki," ujarnnya yang berbuka dengan nasi, tempoyak dan rendang daging pada hari pertama puasa.

Tambah Tara, dia juga menggemari kuih buah Melaka yang dianggap memiliki tekstur dan rasa hampir sama seperti hidangan rice cake yang popular di negara kelahirannya.

tara5

Tara bersama bapanya.

Dalam pada itu, Tara yang menetap di Kota Damansara, Selangor turut terharu apabila video dia berpuasa meraih ratusan ribu tontonan menerusi aplikasi TikTok.

Menurut wanita yang berasal dari Changwon itu, dia sama sekali tidak menyangka video-video berkenaan tular dalam kalangan rakyat negara ini.

"Saya tak sangka video saya akan jadi popular. Ramai penonton yang gembira tengok saya berpuasa. Mereka juga banyak berkongsi petua agar saya dapat mengharungi cabaran puasa.

tara3

Tara berpuasa selama lima hari sempena kedatangan Ramadan tahun ini.

"Walaupun saya berpuasa lima hari, pengalaman ini membuatkan saya lebih menghormati umat Islam yang berpuasa selama 30 hari. Harapnya saya boleh cuba lebih lagi pada Ramadan tahun akan datang," ujarnya yang merancang membeli baju kurung untuk sambutan Aidilfitri.

Mengenai dirinya, Tara yang memiliki lebih 212,000 pengikut di TikTok pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini pada 2018.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain