suria

Kes pukul: 11 pelajar direman bagi bantu siasatan

Pelajar direman libat kes pukul di sekolah.

AKIBAT terlibat kes pukul di sekolah berasrama di Kuala Nerus di Terengganu dalam kejadian pada malam Khamis lalu, seramai 11 pelajar lelaki direman selama tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.

Difahamkan, perintah tahanan reman ke atas suspek berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Norina Maludin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tumbuk perut: Empat pelajar 13 tahun ditahan

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kesemua suspek ditahan ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.

Menurutnya, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat oleh mangsa bersama keluarganya di IPD Kuala Terengganu sekitar jam 9.40 malam pada Ahad.

"Mangsa telah menghubungi ibunya untuk datang ke asrama dan membawanya pulang ke rumah sebelum mendedahkan kejadian yang berlaku.

"Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami lebam pada kedua-dua belah paha. Mangsa juga telah dihantar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham.

"Mangsa dipercayai dipanggil oleh suspek yang merupakan rakan satu asrama untuk ke tingkat satu sebelum berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa dipukul serta disepak oleh suspek," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain