suria

Pasangan Singapura masuk Malaysia, pandu Tesla secara auto-pilot… polis buka kertas siasatan

Polis akan menggunakan Akta Pengangkutan Darat 1987 untuk melancarkan siasatan. (Gambar: TikTok SGpikarchu)

RAKAMAN tular memaparkan pasangan dari Singapura yang menggunakan mod pemanduan sendiri (auto-pilot) ketika menaiki sebuah kereta Tesla Model 3 di Pulau Pinang meraih perhatian ramai.

Dalam perkembangan terbaharu, portal Guang Ming Daily melaporkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berhubung video tular itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pelajar MRSM Ulul Albab kini jurutera Tesla... Kisah hidupnya pasti jadi inspirasi wanita Malaysia!

Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan, Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penggunaan fungsi pemanduan automatik boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka terhadap keadaan jalan raya.

"Dari perspektif PDRM, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai peraturan atau undang-undang terhadap sistem pemanduan automatik, tetapi sistem ini tidak membantu pemandu menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan. Sistem tidak dapat memastikan jika ada pemandu yang duduk di dalam kenderaan.

"Ini mungkin menyebabkan pemandu kurang memberi perhatian kepada lalu lintas di sekeliling mereka, sebaliknya menghabiskan masa mereka dengan perkara lain yang mengganggu, seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu," kata Bakri.

Menurut laporan portal Paultan.Org, Bakri turut mengingatkan pemandu bahawa Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 1959 menetapkan sikap yang baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian semasa memandu.

Beliau berkata walaupun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanduan automatik, pemandu perlu sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya, agar dapat mengambil alih tepat pada masanya dan mengelakkan kemalangan sekiranya sistem ini gagal.

"Apabila memandu, tumpuan mesti diberikan kepada jalan raya, kerana aliran trafik dan sikap pengguna jalan raya bermakna pengendali manusia masih diperlukan untuk mengendalikan dan memandu kenderaan itu," tambahnya.

Beliau juga mengimbas kisah kemalangan di California pada 2019, yang mana pemandu Tesla menggunakan fungsi auto-pilot melanggar lampu merah dan merempuh kereta lain sehingga membunuh dua individu lain.

Akhirnya, pemandu itu didakwa dengan dua pertuduhan membunuh pada Januari, lapor The Guardian.

Bakri berkata kemalangan itu menunjukkan penggunaan teknologi pemanduan autonomi boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain berdasarkan keadaan lalu lintas dan jalan raya.

Mengenai kes pasangan warga Singapura itu, Bakri berkata tindakan mereka dilarang di Malaysia dan polis akan menggunakan Akta Pengangkutan Darat 1987 untuk melancarkan siasatan.

"Ciri auto-pilot dalam kenderaan Tesla membantu pemandu, tetapi ia tidak bermakna pemandu boleh melepaskan tangan sepenuhnya dari stereng dan tersilap berfikir bahawa sistem itu boleh mengawal kereta secara automatik dan selamat," kata Bakri.

Untuk rekod, video berjudul Tesla Goes M'sia itu dimuat naik ke TikTok enam hari lalu.

Selain Kuala Lumpur, pasangan itu menaiki kereta berkenaan ke Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah.

"Autopilot is so shiok here! Tesla owners, start planning your journey," tulis pengendali TikTok itu dalam salah satu video yang dikongsi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain