suria

Keputusan untuk adakan PRU15 akan dibincangkan 5 pemimpin tertinggi Umno - PM

Perdana Menteri peka dengan gesaan perwakilan supaya Parlimen dibubarkan tidak lama lagi. Foto: BERNAMA.

KEPUTUSAN sama ada mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal akan dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi Umno, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib presiden Umno itu berkata, beliau telah mendengar perbahasan Perhimpunan Agung Umno dan peka dengan gesaan perwakilan supaya Parlimen dibubarkan tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki bila PRU15, ini jawapan Perdana Menteri

“Dua kemenangan besar dalam pilihan raya Melaka dan Johor telah memberikan kami lebih motivasi untuk terus berjuang.

“Ini telah membawa kepada tuntutan supaya Parlimen dibubarkan segera.

"Saya mendengar semua gesaan daripada pembahas mengenai perkara ini. Saya memberi jaminan bahawa ini akan dibincangkan oleh lima (pemimpin) tertinggi parti.

"Jika kita boleh yakin untuk menang, kita tidak akan menunggu satu saat lagi untuk mengadakan pilihan raya," kata Ismail Sabri, dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno.

Lima pemimpin tertinggi Umno merujuk kepada presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Tambah Ismail Sabri, perkara itu juga akan dibincangkan dalam Majlis Tertinggi Umno dan Jemaah Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Penggal parlimen semasa tamat pada Jun 2023.

Perhimpunan Umno telah mendengar seruan lantang pemimpin dan perwakilan supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain