suria

Wanita tempatan usia 80an maut kira-kira sejam selepas diselamatkan pasukan SAR tanah runtuh Taman Bukit Permai

Keadaan tanah runtuh yang berlaku petang Khamis.

KETUA Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha mengesahkan mangsa kedua yang berjaya dibawa keluar daripada timbunan tanah runtuh meninggal dunia kira-kira pukul 9.15 malam, Khamis.

"Mangsa kedua telah kita temui di rumah nombor dua. Dia merupakan wanita bangsa Cina warga tempatan yang telah disahkan meninggal dunia, mayatnya telah dihantar ke Hospital Ampang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Ampang: Lelaki 68 tahun antara 2 terselamat, 3 lagi masih hilang... penduduk sekitar diarah pindah serta merta

"Ada tiga lagi mangsa dalam proses mencari dan menyelamat. Pihak pegawai daerah telah sediakan pusat penempatan sementara (PPS) di dewan MPAJ Taman Mega Jaya dan saya harap penghuni di kawasan terjejas pindah ke situ atau pergi ke lokasi lain yang lebih selamat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut beliau, penghuni terlibat perlu pindah keluar kerana pihak penyelamat perlu sedikit waktu bagi menentukan sama ada kawasan penempatan sekitar selamat diduduki atau tidak.

ketua polis daerah ampang jaya

Mohamad Farouk memberi maklumat terkini berkenaan tanah runtuh.

Tambah beliau, pihaknya tidak memberi arahan untuk berpindah sebaliknya menawarkan penempatan sementara demi keselamatan penduduk setempat.

Mengulas lanjut, ujar beliau, sepertimana maklumat awal yang dilaporkan, terdapat lima mangsa terperangkap dan hanya dua yang sudah ditemui.

"Seorang daripadanya adalah lelaki Cina dan satu lagi wanita berusia dalam lingkungan 80 tahun yang kita percaya pasangannya dijumpai di dalam rumah. Namun wanita terbabit telah meninggal dunia.

"Salah seorang daripada tiga mangsa yang masih dicari adalah pekerja Air Selangor yang berada di lokasi kejadian ketika tanah runtuh berlaku.

"Kesemuanya lelaki dan kita masih belum kenal pasti identiti mereka yang terlibat termasuk sama ada masih berada di dalam runtuhan tanah atau tidak," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan, namun ia bergantung pada keadaan semasa.

Tambahnya, keadaan tanah ketika ini masih lagi dalam kajian dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat pemeriksaan kestabilan cerun dan sebagainya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain