suria

Malaysia dilanda gelombang Omicron, angka harian Covid-19 dijangka cecah 15,000 - Khairy

Khairy berkata kes harian dijangka meningkat mencecah 15,000 sehari kerana Malaysia dilanda gelombang Omicron.

MALAYSIA kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan kes harian Covid-19 bakal mencecah 15,000 tidak lama lagi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Fully into Omicron wave (memasuki gelombang Omicron sepenuhnya). Kes akan mencecah 15k tidak lama lagi.

"Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera," katanya dalam satu ciapan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Melonjak kepada lima angka... Malaysia rekod 10,089 kes baharu Covid-19

Khairy berkata demikian sebagai maklum balas terhadap perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya mengenai Model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) kes harian Covid-19 dan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 30 Mac ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam ciapannya memaklumkan sebanyak 10,089 kes direkodkan dalam tempoh 24 jam pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kepada 2,914,220.

Dalam ciapan berasingan, Dr Noor Hisham memberikan angka yang lebih membimbangkan, mengatakan kes harian Covid-19 boleh mencecah 22,000 sehari menjelang akhir Mac jika tahap kebolehjangkitan (R0) kekal pada 1.2.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar vaksinasi Malaysia yang baik akan memastikan tahap keseriusan jangkitan Covid-19 kekal rendah.

Dr Noor Hisham juga berkata rakyat boleh memainkan peranan mereka dalam menurunkan kadar kebolehjangkitan dengan mendapatkan suntikan dos penggalak serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain